Penjelasan ke-19 (AKU HANYA BONEKA)
AKU
ini pada hakikatnya adalah boneka yang dilakonkan oleh Dalang (iaitu
Allah). AKU ini dari satu ibarat lagi ialah keris yang dihunus oleh
pendekar. AKU tidak berdaya upaya, gerak dan diam AKU adalah digerakkan
dan didiamkan oleh Allah. Adanya AKU adalah limpahan dari adanya Allah.
Allah
itu hakiki. AKU itu majazi atau relatif sahaja. Kalau difaham dan
diselidiki secara mendalam, akan terasa bahawa yang ghaib dan yang zahir
dan yang awal dan yang akhir adalah Allah sahaja.
Pendeknya
pada pandangan orang yang sangat hampir dengan Allah, alam dan dirinya
lenyap sama sekali dan tinggallah Allah semata-mata. Ini dipandang oleh
ROH yang bersih dan suci dan mentauhidkan diri kepada Allah semata-mata.
Penjelasan ke-20 (AKU TAJALLI ALLAH)
AKU
yang hakiki itu adalah nurullah (cahaya Allah) kerana dengan ROH, Allah
kelihatan. Sesuatu yang menampakkan sesuatu yang lain adalah cahaya.
Tanpa cahaya gelap gelitalah segala-galanya.
AKU juga ayatollah (tanda-tanda Allah) kerana ROH itu tanda-tandanya adanya Allah.
AKU juga digelar Rohullah kerana ROH itu adalah hembusan dari Roh Allah. Itulah AKU yang hakiki.
AKU
dan alam semesta adalah penzahiran atau tajalli Allah. AKU ini adalah
alam kecil kerana semua perkara yang ada dalam alam besar ini ada
salinannya atau penzahirannya dalam alam kecil.
Alam
semesta ini juga digelar Insan Kabir (manusia besar) kerana semua yang
ada dalam alam kecil ini ada kenyataannya dalam alam besar.
Insan
Saghir (manusia kecil) ini adalah dir i(ROH) manusia itu dan Insan
Kabir itu adalah alam semesta raya yang ghaib dan yang nyata. Alam kecil
adalah Insan Saghir iaitu Manusia dan Alam Besar adalah Insan Besar
iaitu Alam Semesta Raya.
Demikian pendapat Falsafah Kesufian.
Penjelasan ke-21 (AKU ITU HIDUP)
Dalam
alam dunia ini kita katakan si anu itu orang Bandar dan si anu itu
orang kampung ataupun si anu itu berada di pejabat atau berada di rumah.
Semua itu menunjukkan tempat dalam alam nyata ini. Tetapi bagi ROH itu
semua tidak ada. Ia bebas dari tempat atau arah atau masa atau waktu.
ROH
itu hidup. Ia tidak tertakluk kepada alam nyata atau alam kebendaan.
ROH itu hidup dengan limpahan Yang Maha Hidup. Demikianlah AKU.
Penjelasan ke-22 (AKU BESERTA ALLAH)
AKU
memang berserta dengan Allah, sejak dari dahulu hingga akan datang atau
sejak awal hingga akhir. Tidak pernah bercerai dan berpisah dengan Yang
Maha Aku (iaitu Allah). Sejak dari dalam ilmu Allah hingga sampai ke
alam akhirat yang tidak ada hujungnya, AKU tetap bersama Allah.
AKU
tidak keluar dan tidak masuk dalam lengkungan Allah. AKU itu memang
berada dalam lengkungan Allah sahaja. Kalau Allah itu diibaratkan
sebagai lautan, maka AKU itu ikannya. Ikan itu sentiasa dalam lautan dan
tidak akan hidup tanpa air lautan itu.
‘Masuk’
dan ‘Keluar’, ‘berpisah’ dan ‘bersatu’, tidak termasuk dalam kamus AKU.
AKU bukan seperti badan kasar yang tertakluk kepada ruang dan zaman.
AKU
menyerahkan dirinya dan nasibnya kepada Yang Maha AKU. Cukuplah Dia
mengawal dan memelihara AKU. AKU tidak perlu pada yang lain lagi. Tidak
perlu pertolongan dari ghairullah (selain Allah), bahkan tidak ada
ghairullah pada pandangannya. Cukup Allah bagi AKU.
Penjelasan ke-23 (AKU SEBENARNYA DHAIF)
AKU
bodoh. Dialah yang mencerdikkan AKU. AKU lemah Dialah yang menguatkan
AKU. AKU tidak tahu, Dialah yang memberiku tahu. AKU papa kedana, Dialah
yang memperkayakan AKU.
AKU
bertanya, memohon, berharap kepadaNya sahaja. Seolah-olah AKU dan DIA
berpadu dan bersatu di mana dan bila sahaja. Dan DIA ada dalam kesadaran
AKU.
Renunglah
ke dalam AKU. Dia berada dalam kesadaran AKU. Maha Halus dan Maha Seni.
AKU terdengar bisikanNya. Dalam waktu sunyi sepi, paling baik mendengar
bisikan hati nurani. Tanpa huruf, tanpa suara, tetapi AKU faham
segala-galanya.
AKU kenal Dia dalam kesadaran batinku kerana AKU berhubung dengan Dia tanpa menyekutukanNya. Inilah satu hasil zikrullah.
Penjelasan ke-24 (WUJUD AKU)
AKU
wujud dalam lautan Yang Maha Wujud. AKU sentiasa berada dalam lautan
itu. Dalam lautan itulah AKU bermastautin. Itulah lautan wujud.
Penjelasan ke-25 (AKU MEMANG ADA KESEDARAN)
AKU
memang ada kesadaran, limpahan Yang Maha Sedar (iaitu Allah SWT).
Kesadaran AKU meliputi alam nyata dan alam ghaib, alam dunia dan alam
akhirat. AKU sedar semua itu. Semua perkara itu ada ilmuku. Allah ada
dalam kesedaran AKU. Begitu juga makhluk ada dalam kesedaran AKU. Segala
yang ada dalam kesedaran AKU itulah ilmu AKU. Syurga, neraka, malaikat
dan iblis ada dalam kesedaran AKU. Semua yang ada dalam ilmu atau
kesedaran AKU itu adalah penzahiran Allah dalam kesedaran dan ilmu AKU.
Penjelasan ke-26 (AKUSENTIASA CINTA DIA)
AKU
sentiasa cinta kepada DIA (Allah). Tidak mahu berpisah dan berjauhan
dengan DIA. AKU sentiasa ingatkan DIA. Terasa azab jika tidak
mengingatiNya. Puja dan puji hanya untuk DIA belaka. Perasaan cinta ini
tidak akan ada pada AKU jika tidak dengan anugerahNya juga. Alangkah
kerdilnya AKU berada dalam majlis DIA.
Penjelasan ke-27 (AKU TIDAK MEMILIKI APA-APA)
Dari pandangan ROH atau AKU yang hakiki, AKU tidak memiliki apa-apa tetapi ia dimiliki oleh Yang Maha Kaya (iaitu Allah).
AKU
dijasadkan untuk menjalani hidup di dunia fana ini. AKU juga diberi
nafsu. Kalau AKU ditakluki oleh jasad dan nafsu, maka binasalah AKU itu,
tetapi jika AKU yang menkluki jasad dan nafsu, maka selamatlah AKU itu.
AKU
membawa kita menuju Allah dan menyedari hakikat dirinya dan Tuhannya.
Nafsu serakah membawa kita jauh dari Allah dan lupa akan hakikat diri
kita. Lantaran itu hanyutlah ia dalam larutan kelupaan dan kesesatan dan
akhirnya ia akan menyesal setelah ia meninggalkan badannya. Setelah ROH
berpisah dari badan, maka sedarlah AKU itu kembali akan keadaan dirinya
yang sebenar.
Penjelasan ke-28 (AKU PALING MULIA PADA KENYATAANNYA)
Badan
kita ini amat kerdil, ibarat sebutir pasir di padang gurun, setitik air
di lautan luas, sebiji bintang di cekrawala, melukut di tepi gantang,
masuk tidak bertambah dan keluar tidak mengurang. Betapa kecil dan
kerdilnya badan kita. Itulah wajah zahir AKU.
Tetapi
kalau kita renung ke wajah batin kita, dia paling mulia, paling tinggi
martabatnya, mengatasi segala makhluk dan malaikat. AKU itu suci dan
wangi, sangat hampir dengan Ilahi. Dialah cahaya Allah, Dialah ayat-ayat
Allah, Dialah ROH Allah, Dialah bayangan dan penzahiran Allah.
AKU
yang hakiki itu sangat mulia, tiada tertanding oleh sekalian makhluk.
Dia bertasbih setiap ketika, memandang Allah dengan kasihnya, rindu
dendam tiada terkira. Itulah AKU yang sebenarnya.
Penjelasan ke-29 (CARA MENGENAL AKU)
Berbagai-bagai
cara orang hendak mengenal dirinya atau AKUnya. Ada yang melalui
meditasi, pertapaan, mengosongkan fikiran, latihan jiwa yang menyiksakan
badan dan sebagainya. Tetapi bagi orang-orang Sufi ialah dengan
Zikrullah yang diajar oleh guru-guru Sufi yang pakar dan pembimbing
rohani yang mursyid. Dengan berzikir dan melalui bimbingan Syeikh
Mursyid sampailah seseorang itu pada tahap mengenal dirinya atau AKUnya.
Orang-orang
Sufi ada menjelaskan bahawa “Barangsiapa yang mengenal dirinya, maka
akan kenallah ia akan Tuhannya”. Ini bukan bermakna DIA jadi Tuhan.
Apabila seseorang itu kenal gambar, maka kenallah ia akan orang yang
digambarkan. Apabila seseorang kenal akan bayang dalam cermin, maka
kenallah ia orang yang punya bayang. Fahamkanlah!
Penjelasan ke-30 (PENGEMBARAAN AKU)
Orang
yang memasuki jalan kesufian (Tareqat Sufi) adalah sebenarnya memasuki
pengembaraan iaitu pengembaraan AKUnya menuju Allah SWT. Pengembaraan
ini bukan dari tempat ke tempat atau dari masa ke masa, tetapi
pengembaraan ini adalah pengembaraan dalam kesadaran AKU, beredar dalam
pengalaman kerohanian atau kejiwaan. Hanya jiwa yang merasainya, tidak
kelihatan oleh mata kasar.
Tetapi
setelah sampai ke tempat dituju iaitu kesadaran bahawa AKU ini fana
dalam Allah dan Baqa (kekal) denganNya, barulah AKU itu sedar bahawa
pengembaraan itu hanya dari tidak sedar kepada sedar. Sedar betapa AKU
memang berada di destinasi sejak awal hingga akhir. Apakah destinasi
itu? Itulah kesadaran dan pengenalan tentang Allah atau dalam istilah
kesufian digelar MA’RIFAT.
Pada
hakikatnya AKU itu memang berada ‘dalam’ Allah dan ‘kekal’ dengan Allah
sejak awal lagi, dulu, sekarang, dan akan datang. AKU memang bersama
dan ‘berpadu’ dengan Tuhannya. AKU itu memang diliputi oleh lautan Wujud
Ketuhanan.
Penjelasan ke-31 (AKU TIDAK PEDULI)
Dalam
peringkat AKU yang hakiki, ia tidak peduli orang yag mengeji kerana
keji itu tidak akan merendahkan martabatnya. Ia juga tidak peduli orang
yang memuji kerana pujian itu tidak akan meninggikan martabatnya. AKU
tidak sakit hati dengan kejian dan tidak bangga dengan pujian. Semua itu
tidak apa-apa bagi AKU. Keji dan puji tidak menjejaskan martabatnya
sedikit jua.
‘Yang
apa-apa’ bagi AKU hanya Allah kerana Dialah tempat AKU kembali, tempat
AKU mengadu, tempat menyerahkan diri, tempat perlindungan, tempat
pembelaan dari apa jua angkara, dari jin dan manusia, dari dunia dan apa
saja. Cukuplah Allah bagi AKU.
Penjelasan ke-32 (KESEDARAN AKU)
Dalam
kesadaran AKU, semua makhluk ini dan diri AKU juga adalah semata-mata
ayatollah (tanda-tanda Allah). Tanda-tanda adanya Allah, tanda-tanda
kesempurnaanNya, keagunganNya dan keindahanNya.
Apabila
dilihat tanda, tergambarlah yang tanda. Apabila dilihat gambar,
terbayanglah yang digambar. Apabila dilihat daun yang bergoyang,
nampaklah angin yang bertiup. Apabila nampak bayang, nampaklah yang
empunya bayang. AKU dan alam semesta raya ini adalah ayat-ayat Allah
belaka.
Penjelasan ke-33 (PENYERAHAN AKU)
AKU
yang hakiki percaya dan menyerah diri kepada Yang Maha AKU (iaitu
Allah) sahaja tanpa sangsi dan ragu-ragu. AKU memfanakan diri dalam Yang
Maha AKU. Terasa oleh AKU betapa kasihnya Yang Maha AKU kepadanya.
Tidak terhingga kasih sayangnya kepada AKU, melebihi kasih sayang ibu
kepada anaknya. Yang Maha AKU cinta dan kasih sayang kepada AKU.
Percayalah!
Penjelasan ke-34 (AKU JUGA ADA KALA SANGSI)
Adakalanya
AKU itu sangsi dan ragu atau perasaan tidak menentu terhadap kasih
sayang Yang Maha Penyayang. Mungkin syaitan membisik kedalam kalbu
supaya ragu-ragu dan tidak percaya dengan kasih sayang Yang Maha
Pengasih.
Oleh
yang demikian, AKU sentiasa memohon perlindungan Allah dari bisikan
syaitan. Setiap saat AKU berjuang melawan bisikan syaitan itu dan
mengharapkan bantuan dari Yang Maha Gagah (iaitu Allah).
Penjelasan ke-35 (PENYERAHAN BULAT AKU PADA ALLAH)
AKU
sentiasa menyerahkan diri kepada Allah SWT. Penyerahannya bulat dan
padu. Ia menyerahkan dirinya kepada Allah ibarat bayi menyerahkan
dirinya kepada ibunya, ibarat mayat menyerahkan dirinya kepada pemandi
mayat, ibarat ombak memfanakan atau melenyapkan dirinya kedalam lautan.
Bahkan lebih dari itu lagi. Tidak dapat digambarkan lagi.
Penjelasan ke-36 (ASAL AKU)
AKU
sebenarnya berasal dari tempat yang tinggi dan mulia iaitu di hadrat
Allah SWT. Kemudian datang sebentar ke alam bumi dan jasadkan dengan
badan jasmani untuk tempoh yang ditentukan seolah-olah merantau sebentar
di alam bumi ini.
Apabila
sudah cukup tempoh berada di perantauan, AKU pun kembali pulang menuju
ke tempat asal. Ibarat perantau kembali ke kampung halaman. Tidaklah
terkira hati berasa nyaman.
Tetapi
jika diperdalam renung dan kaji, AKU tetap berada di tempat sendiri.
Bukan dari mana dan ke mana pergi. Bila dan di mana juga pun AKU di
tempat sendiri juga.
AKU
datang dari Ilahi, tidak bercerai walaupun seinci dan sesaat. AKU tetap
bersama setiap masa dengan Allah SWT. Dulu AKU bersama denganNya,
sekarang pun bersama denganNya, akan datang pun bersama denganNya.
Sentiasa AKU bersama dengan Allah SWT.
AKU
itu tetap. AKU juga, bersama Allah sentiasa. Hanya alam-alam yang
ditempuh saja berbeza , dari satu alam ke satu alam yang lain.. AKU
sentiasa kekal dengan Allah, walaupun di alam manapun berada.
Penjelasan ke-37 (AKU TIDAK KAGUM)
AKU
tidak kagum dengan kemajuan manusia. Tidak kagum dengan kemajuan sains
dan teknologi, kemajuan peniagaan dan perindustrian. Bahkan AKU tidak
hairan dengan segala urusan keduniaan.
Yang
dihairankan oleh AKU ialah Allah Yang Maha Bijaksana yang melimpahkan
segala ilham kemajuan itu. Sebenarnya Dialah yang maju dan Dialah yang
bijaksana. Dia yang memiliki segala ilham. Sumber ilham kemajuan itu
dari Yang Memiliki Ilham itu sendiri iaitu Allah SWT.
Penjelasan ke-38 (ASAL AKU)
AKU
itu diri. Diri manusia itu banyak tetapi berasal dari Diri Yang Satu.
Diri itu ROH. ROH itu banyak tetapi berasal dari Satu ROH iaitu AL ROH
Al
Roh itu digelar oleh orang-orang Sufi sebagai Haqiqatul Muhammadiyah
atau juga digelar Insan Kamil atau Insan Kabir. AL ROH itu juga digelar
Al Roh Ul Kulliyah (roh semesta). Dari ROH Semesta inilah dizahirkan
ROH-ROH yang pelbagai dan banyak itu. Allah zahirkan AL Roh dan dari Al
Roh dizahirkan sekelian ROH. ROH individu atau ROH perseorangan itu
pancaran dari Al Roh dan Al Roh pula terbit dari Allah SWT.
Demikian pandangan falsafah kerohanian sebahagian orang Sufi.
Penjelasan ke-39 (AKU SEBENARNYA SEADANYA)
AKU
tidak megah dengan harta benda, wang ringgit, pangkat darjat, anak
pinak, sanak saudara yang banyak dan segala ghairullah (selain Allah).
AKU
tidak iri hati dengan orang kaya. Ia tidak dengki dengan orang-orang
berpangkat tinggi. Pada pandangan AKU segala harta benda, wang ringgit,
pangkat, saudara mara, anak pinak dan sebagainya itu adalah milik Allah
yang dianugerahkanNya kepada sesiapa saja yang dikehendakiNya. Dia yang
menentukan siapa yang patut diberi harta banyak dan siapa yang patut
diberiNya harta yang sedikit. Semua itu Allah yang menentukan.
KetentuanNya tidak dapat disanggah dan dipertikaikan. Kenapa AKU mesti
dengki dan iri hati dengan ketentuanNya. Dia yang AKU puji dan puja
tentulah AKU redha dengan ketentuanNya.
Penjelasan ke-40 (AKU TIDAK HAIRAN KEDUNIAAN)
AKU
tidak merasa hina kalau miskin papa atau buruk paras badan, atau tidak
berpangkat atau tidak banyak kawan atau tiada intan berlian. Semua itu
berkaitan dengan keduniaan dan kebendaan, tidak bersangkut paut dengan
AKU yang bersifat kerohanian.
AKU
hina jika kufur dengan Allah. AKU hina jika jauh dengan Dia, jika tidak
beriman dan tidak bertakwa, itulah kehinaan pada AKU yang sebenar.
Penjelasan ke- 41 (MATLAMAT AKU)
Matlamat
AKU ialah ALLAH. Yang diharapnya ialah keredhaan Allah. Yang dimintanya
ialah keampunan Allah. Pada pandangan AKU kehidupan akhirat itulah yang
utama. Kembali ke hadrat Allah itulah yang diidamkannya.
AKU
tidak takut mati (berpisah nyawa dari badan) kerana ‘mati’ sebenarnya
berpindah alam, dari alam dunia ke alam barzakh. AKU tetap AKU juga.
Walaupun badan hancur tetapi AKU tidak hancur. AKU akan kembali sedar
kerana hijab-hijab (tirai-tirai) jasad atau badan telah hilang.
Penjelasan ke- 42 (AKU TETAP KAYA JIWA)
Walaupun
dari segi kehidupan dunia ini seseorang itu papa, tetapi kalau jiwanya
kenal diri dan Tuhannya, ia tetap kaya. Kaya pada perasaannya. Walaupun
susah kehidupan dunianya, AKUnya tetap berasa senang. Walaupun badannya
lemah, AKUnya tetap berasa kuat. Walaupun ia kesunyian tanpa rakan,
namun ia tetap berasa ramai.
AKU
yang telah ‘menyerap’ dalam Yang Maha AKU, atau jiwa yang ‘menyerap’
dalam Jiwa Semesta atau perasaan yang ‘menyerap’ dalam Perasaan Sejagat
Raya, atau diri yang ‘menyerap’ dalam Diri Semesta Raya, tidak akan
merasa lemah, tidak akan merasa susah, tidak akan merasa teruk, dan
tidak akan merasa duka, dan tidak akan merasa sunyi.
Penjelasan ke- 43 (AKU TIDAK MEMILIK SIFAT TERCELA)
AKU
tidak megah dan tidak bangga. Orang yang telah kenal AKUnya tidak
memiliki sifat-sifat yang tercela seperti takabbur, bongkak, sombong,
kikir, dengki, khianat, takut kepada ghairullah, mengumpat, mengeji dan
sebagainya.
Sifat-sifat tercela itu tidak perlu baginya. Segala sifat tercela itu sendirinya hilang dan diganti dengan sifat-sifat terpuji.
Apakah
yang hendak dimegahkan, dikhuatirkan, ditakutkan, dan sebagainya kerana
AKU itu sebenarnya tiada apa-apa. AKU itu kosong belaka. Yang ada hanya
Allah pada hakikatnya. Allah memiliki segala-galanya. Dia yang patut
dipuji dan dipuja.
Penjelasan ke- 44 (AKU BERILMU)
AKU
itu berilmu. Ilmunya adalah limpahan ilmu Allah. Ilmu itu meliputi yang
diketahui. Apa yang diketahui itu adalah kandungan ilmu. Oleh itu AKU,
ilmunya dan yang diketahuinya adalah sebenarnya ‘bersatu’, ‘bersama’,
dan tiada bercerai.
AKU
itu tahu. Apa yang AKU tahu itulah kandungan ilmu AKU. Berbagai-bagai
yang diketahui oleh AKU. Semua itu kandungan ilmu AKU. Semua itu tiada
bercerai dari AKU.
Penjelasan ke- 45 (AKU TERTAKLUK KEPADA ALLAH)
AKU
yang sebenarnya itu hanya tertakluk kepada Allah sahaja. Ia tidak
dikuasai oleh sesiapa. Alam ini tertakluk kepada AKU. Makhluk itulah
yang tunduk kepada AKU dengan perintah Allah Yang Maha Perintah.
AKU
itu khalifah Allah atau wakil Allah yang mengurus makhluk dengan
isiNya. Segala yang ada di langit dan di bumi semua untuk AKU. Kalau
dunia ini ladang, AKU pengurusnya dan Allah yang empunya ladang itu.
Allah
tidak perlu apa-apa. Hanya AKU yang memerlukan Dia. Hanya AKU yang
mahukan dunia. Makhluk segala-galanya adalah untuk AKU (Insan). Semuanya
kurniaan Tuhan AKU (Allah). Allah jadikan makhluk untuk AKU. Demikian
mulianya AKU.
Penjelasan ke- 46 (AKU SUCI HAKIKATNYA)
AKU
ini memang suci hakikatnya kerana Ia limpahan Nur Allah Yang Maha Suci.
Yang mengotorkan AKU ini ialah syirik iaitu menyekutukan dengan apa dan
siapa jua. Untuk membersihkan najis syirik itu dari hati ialah dengan
Tauhid. Tauhid ibarat air yang menyucikan najis syirik dari hati. Jiwa
yang bersih ialah jiwa yang tauhid.
Dengan
Tauhid ini menjadikan jiwa seseorang itu berani, tawadhu’, sabar, kuat
dan gagah kerana jiwa tauhid ini betul-betul mengesakan Allah dan
menyerah bulat-bulat kepada Allah Yang Maha Agung.
Dengan berzikir hati akan jadi tenang dan damai, akan menimbulkan semangat tauhid dalam dalam penzikir itu.
Penjelasan ke- 47 (HUBUNGAN AKU DENGAN ALLAH)
Perhubungan
AKU dengan Allah SWT iailah ibarat pehubungan matahari dengan
cahayanya, ibarat ombak dengan laut, ibarat air dengan ais. Semua ini
menunjukkan betapa hampirnya perasaan AKU itu dengan Khaliknya.
Satu
ibarat lagi ialah pelukis dengan lukisan, pengukir dengan ukiran,
pengarang dengan karangannya, pencipta dengan ciptaan. Ini adalah ibarat
untuk menunjukkan bahawa AKU dengan alam semesta raya ini adalah
tanda-tanda atau manisfestasi Wujud Yang Maha Esa itu.
Penjelasan ke- 48 (AKU MENGISBATKAN ALLAH)
AKU
tetap mengisbatkan Allah dalam segala hal dan tindak tanduknya.
Maksudnya AKU tetap nampak Allah di sebalik segala yang maujud (perkara
yang ada) ini dan “nampak” perbuatan dan lakuan dan arah mana memandang
disana “nampak” Allah.
Oleh
kerana memandang yang sedemikian itu maka AKU akan berkata, ” Tiada
maujud melainkan Allah”. Ini adalah kata-kata dari orang yang sudah
“tenggelam” dalam lautan Ketuhanan yang berada dalam pandangan
keruhanian semata-mata. Inilah orang-orang sufi yang telah mencapai
maqam Fana Fillah (lenyap dalam Allah) dan seterusnya Baqa Billah (kekal
dengan Allah).
Penjelasan ke- 49 (AKU TETAP MENGAGUNGKAN ALLAH)
AKU
sebenarnya hanya mengagungkan dan memuja Allah sahaja. Ia tidak
mengagungkan apa-apa pun jua selain Allah. Pada pandangan AKU tidak ada
yang kuat dan gagah melainkan Allah. Tidak ada yang bijaksana melainkan
Allah. Tidak ada yang kaya melainkan Allah.
Semua
kekayaan, kegagahan, kebijaksanaan, keindahan ghairullah adalah hanya
limpahan kurnia Allah semata-mata. Oleh itu, AKU tetap dengan puji dan
pujiannya terhadap Allah SWT sahaja.
Penjelasan ke- 50 (AKU PUNYA ILMU MELIPUTI)
AKU
yang hakiki ini mempunyai ilmu. Ilmunya adalah limpahan dari ilmu
Allah. Seluruh alam ini ada dalam ilmu AKU. Dalam ilmu AKU ada syurga,
neraka, dunia, akhirat, malaikat, iblis bahkan seluruh ciptaan Allah.
Semua ini ada dalam ilmu AKU kerana AKU tahu semua itu. Telah diberitahu
melalui ayat-ayat Allah, yang tersurat dan tersirat, bahawa semua
perkara tersebut ada dan AKU percaya dan ‘merasai’ adanya. Oleh itulah
AKU ini mempunyai ilmu yang meliputi segala-galanya. Semua itu adalah
limpahan kurnia Allah belaka.
Penjelasan ke- 51 (AKU INSAN SAGHIR)
Menurut
Falsafah Kesufian, AKU itu adalah Insan Saghir yakni Manusia Kecil.
Alam semesta raya yang ghaib dan yang nyata, adalah Insan kabir atau
manusia besar. Insan Saghir itu adalah Alam Saghir iaitu Alam keil dan
Insan Kabir itu adalah Alam besar.
Dikatakan
sedemikian kerana hakikat-hakikat dalam Insan Kabir atau manusia besar
itu ada dalam Insan Saghir. Idea-idea Insan Kabir itu ada terbayang
dalam Insan Saghir atau Alam Kecil iaitu Manusia.
Alam
Kabir itu pula mengandungi alam ruh, alam mithal dan alam jasmaniah
atau alam fizikal. Alam-alam ini juga ada pada Insan Saghir atau
manusia. Manusia terdiri dari unsure-unsur roh, mithal, badan
sebagaimana Alam Besar ini terdiri juga dari unsur-unsur roh, mithal dan
fizikal.
ROH
itu nyawa atau jiwa atau ‘hidup’. Fizikal itu jisim atau badan. Mithal
itu ialah antara roh dan badan yang digelar mental atau khayal atau
minda.
Idea
Alam Kabir ada dalam Alam Saghir (manusia). Hakikat Insan kabir (iaitu
Alam Besar) ada dalam Insan Saghir iaitu Manusia. Unsur-unsur alam kabir
itu ada juga pada Alam kecil atau manusia itu.
Maka
dengan itulah dikatakan AKU itu bayangan atau salinan Alam Kabir. AKU
juga adalah bayangan atau salinan Insan Kabir. Insan Kabir dan Alam
Kabir adalah jua nama bagi satu entiti atau diri.
Demikian teori Falsafah Kesufian menurut pandangan sebahagian Ahli Sufi.
Penjelasan ke- 52 (UNSUR DIRI)
AKU
itu diri. Diri insan terbahagi kepada tiga bahagian menurut pendapat
sebahagian Ahli Sufi, iaitu bahagian jasmani, bahagian mithali dan
bahagian ruhani.
Unsur
ROH itu adalah diri yang sebenar. Itulah diri yang tidak akan ‘mati’
menurut istilah biasa. Diri ini berpindah alam sahaja dari satu alam ke
satu alam yang lain. Diri inilah yang mulia dan menjadi ayat atau nur
Allah. Kejadiannya mulia dan tinggi.
Unsur
mithali adalah unsur antara jasmani dengan rohani. Ia adalah diri
lapisan yang kedua. Ini termasuklah fikiran, minda dan tubuh halus yang
bukan jasmani dan bukan pula roh yang sebenarnya. Diri inilah yang boleh
mengembara dalam alam mimpi tatkala kita tidur.
Di
lapisan yang ketiga iailah diri jasmani iaitu badan kasar kita yang
terdiri dari empat unsur iaitu unsur air, unsur angin, unsur api dan
unsur tanah. Diri ini memerlukan unsur-unsur yang empat itu untuk dapat
hidup. Kehidupan hanya akan wujud setelah empat unsur itu tersedia.
Itulah
tiga bahagian diri manusia. Walau bagaimanapun, unsur roh itulah yang
paling penting. Roh itu hidup. Tanpa ‘hidup’ lapisan yang dua lagi tidak
berfungsi. Dengan adannya ROH barulah diri kita boleh berfikir,
berkomunikasi, makan, minum, bermain, bergerak dan sebagainya. Tanpa roh
segalanya akan kaku, mati, dan tiada berguna lagi.
Penjelasan ke- 53 (DUA UNSUR DIRI)
Ada
juga orang yang berpendapat Diri manusia itu terbahagi kepada dua unsur
sahaja iaitu rohaniah dan jasmaniah. Unsur rohaniah termasuklah nyawa
atau jiwa, dan juga fikiran, minda, khayalan, akal, dan seumpamanya.
Semua ini berunsur rohaniah atau kejiwaan.
Yang
berunsur kejasmanian atau kebadanan ini termasuklah anggota badan kasar
seperti kepala, badan, kaki, tangan, telinga, mata, dan sebagainya yang
terdiri dari unsur-unsur api, angina, tanah dan air.
Kedua-dua
unsur kejiwaan dan kebadanan ini saling bertindak antara satu dengan
yang lain, saling pengaruh mempengaruhi antara satu dengan yang lain.
Kalau seseorang itu hatinya susah, atau duka, perasaan ini boleh
mempengaruhi jasmaninya seperti tidak lalu makan dan minum dan akibatnya
badan jadi kurus dan tidak sihat. Sebaliknya pula kalau badan sakit,
fikiran pun rungsing dan ini menyusahkan hati dan jiwa. Demikianlah
adanya pengaruh mempengaruhi antara jasmani dan rohani.
Penjelasan ke- 54 (KENAL DIRI)
Setiap
orang hendaklah seboleh-bolehnya kenal akan dirinya yang sebenar itu
iaitu yang berunsur rohaniah atau kerohanian itu supaya ia tidak
mensia-siakan hidupnya di dunia fana ini. Hidup kita bukan di dunia ini
sahaja. Hidup kita akan berlanjutan hingga kekal abadi di akhirat yang
tiada hujungnya. Disana nilai buruk atau baik bukan disukat dari segi
kekayaan harta benda, banyaknya anak pinak, bukannya kurniaan bintang
atau pingat atau pangkat yang diperolehi di dunia ini. Nilai baik dan
buruk seseorang di sana bergantung kepada iman dan amal soleh seseorang
itu.
Dengan
kenalnya kita akan diri kita yang sebenar itu, kita tidak akan putus
asa, tidak takut, tidak bimbang dalam melayari bahtera hidup kita ini.
Ini kerana kita tahu diri kita adalah kekasih Allah. Takkanlah orang
yang mengasihi seseorang itu akan menganiayai kekasihnya. Sebenarnya
Allah kasih akan diri kita lebih dari ibu mengasihi anak kesayangannya.
Ia Maha Kasih Sayang terhadap hamba-hambanya.
Dengan
mengenal diri kita, tidaklah kita takabur, sombong, bongkak, dengki,
iri hati, khianat kerana kita tahu siapa diri kita sebenarnya.
Dinisbahkan dengan Allah SWT, kita tiada apa-apa, hanya ayat-ayatNya
sahaja. Jika dinisbahkan dengan makhlukNya, diri kita adalah penguasa
dan pengurus. Allah menjadikan alam dan makhluk untuk kita (sebagai
insan) dan kita untuk Dia. Demikian kata Ahli Sufi.
Penjelasan ke- 55 (BADAN ZAHIR)
Badan
kita yang zahir ini adalah penzahiran diri kita yang batin. Diri kita
yang batin itu ghaib dari pandangan mata kasar. Untuk melihat yang batin
itu diperlukan bayangannya iaitu diri kita yang zahir ini. Maka itulah
dikatakan badan kasar itu hanya ‘sarung’ atau ‘tunggangan’ atau
‘sangkar’ bagi badan yang ghaib itu.
Apabila
nyawa berpisah dari badan, maka tinggallah badan itu dan lama kelamaan
jadi reput dan hancur kecuali dengan kehendak Allah ada juga badan yang
tidak reput setelah lama nyawa meninggalkannya. Tetapi pada kebiasaan
atau lumrahnya badan akan hancur binasa. Itulah dikatakan dari tanah
kembali semula ke tanah.
Ada
juga orang melihat dalam dunia ini ‘bayangan’ atau ‘lembaga’ orang yang
telah lama meninggal dunia berlakon dan beraksi sebagaimana hidupnya
dalam dunia dahulu. Itu bukanlah badan orang itu sebenarnya. Badannya
telah hancur binasa. ‘bayangan’ atau ‘lembaga’ itu adalah dari unsur
alam mithal. Alam mithal ini adalah alam yang halus, yang penghuninya
atau kandungannya tidak hancur. Ia bukan roh semata-mata dan bukan pula
badan semata-mata. Ia adalah antara kedua unsur itu.
Seperti
yang kita jelaskan dahulu, diri kita terdiri dari tiga unsur iaitu
unsur badan, yang akan hancur kecuali yang dikehendaki Allah untuk tidak
hancur, unsur mithal yang tidak hancur tetapi tersimpan dalam ‘alam
mithal’ dan unsur ketiga iailah roh dan ini selama-lamanya hidup, tidak
hancur dan tidak kembali lagi ke dunia nyata ini.
‘Lembaga’
atau ‘bayangan’ orang yang telah mati yang kelihatan oleh orang dalam
dunia ini dan berlaku seperti mana ia hidup di dunia dahulu, sebenarnya
adalah berunsur mithaliyyah (mithal). Sesekali ia kelihatan oleh orang
yang hidup dalam dunia ini persis seperti mana hidupnya dahulu, bahkan
boleh pula berkata-kata dengan orang yang berada dalam dunia ini. Ini
telah banyak terjadi di mana sahaja dalam dunia ini, baik di Barat atau
di Timur.
Setelah
kita faham alam yang tiga itu, maka tidaklah kita hairan kenapa ada
orang yang mendakwa melihat si anu dan si anu padahal orang itu telah
meninggal dunia. Alam mithal ini ada tetapi tidak kelihatan kecuali
mereka yang dibukakan hijab untuk melihat alam itu dan para penghuninya.
Demikian teori sebahagian Ahli Sufi.
Penjelasan ke- 56 (MEGENAL AKU HAKIKI)
Untuk
mengenal AKU yang hakiki itu perlu berusaha dengan sabar dan perlu
panduan guru yang pakar dalam bidang kerohanian dan kesufian, dan banyak
berfikir dan berzikir dan memohon taufik dan hidayah dari Allah SWT.
AKU kita ini ibarat sagu, perlu dipecahkan ruyung, barulah dapat
sagunya. Memecah ruyung itu hendaklah dengan petunjuk orang yang telah
pakar memecahkan ruyung yang tahu cara bagaimana memecahnya dan alat
pemecahnya pula mestilah yang sesuai.
Satu
lagi ibarat, AKU yang hakiki yang dikatakan bayangan atau ayat atau
penzahiran Yang Maha AKU (iaitu Allah) itu ibarat matlamat atau
destinasi yang dituju. Sebelum sampai ke destinasi itu perlulah kita
mengembara atau berjalan dengan kenderaan atau tanpa kenderaan menuju
tempat yang di tuju itu. Supaya kita tidak tersesat, kita perlu si
penunjuk jalan agar kita sampai ke tempat yang sebenarnya. Kita perlu
pula kenderaan supaya cepat sampai, kalau berjalan kaki sahaja tanpa
kenderaan lambatlah sampai. Setelah sampai perlulah kita mendapat
pengesahan dari si penunjuk jalan bahawa tempat yang kita tuju itu telah
sampai, maklumlah tempat yang kita tuju itu belum pernah kita lihat,
mungkin kita was-was atau ragu-ragu adakah itu tempatnya. Setelah sah
itulah tempat yang kita tuju, maka tamatlah pengembaraan kita. Apabila
kita telah berada dalam tempat yang dituju itu, maka bebaslah kita
menikmati dan merasai atau mengalami keadaan di tempat tersebut.
Seperti
kata orang-orang sufi, ” Barangsiapa kenal dirinya akan kenal
Tuhannya”. Mengenal Allah melalui mengenal diri itu adalah jalan atau
cara orang-orang sufi. Ini bukan bererti diri kita itu sama dengan
Tuhan. Diri kita tetap kita. Diri kita bukan Tuhan. Allah tetap Allah
tanpa sekutu dengan yang lain. Diri kita tetap diri kita juga. Tetapi
dengan mengenal diri itu dapatlah kita mengenal Allah.
Seperti
yang kita jelaskan dalam penjelasan-penjelasan yang terdahulu, AKU atau
diri kita ini adalah ayat-ayat atau tanda-tanda atau bayangan Tuhan.
Zat Tuhan itu, digelar oleh Ahli Sufi sebagai ‘Kunhi Zat’ (semata-mata
Zat), tidak sampai kedalam pengetahuan atau ilham atau kasyaf kita.
Pendeknya ilmu dan kasyaf kita tidak sampai ke sana. Tetapi bayanganNya
atau ayat-ayatNya atau penzahiranNya dapat kita kenali.
Matahari
itu silau mata kita memandangnya tetapi bayangannya dalam air dapat
kita pandang tanpa merosakkan mata. Angin tidak dapat dilihat tetapi
kalau daun bergoyang itulah tanda adanya angin. Pedas tidak dapat
dilihat, tetapi cabai atau cili dapat dilihat. Inilah perumpamaan atau
ibarat. Fikirkanlah.
Kita
ini ibarat bayang, daun, ladai tadi. Dengan melalui bayang dapat
dikenali yang empunya bayang. Dengan melihat daun bergoyang, dapat
diketahui adanya angin Dengan lada dapatlah kita merasai pedas.
Paling
penting bertanyalah kepada orang yang ahli dalam bidang kerohanian dan
kesufian ini. Janganlah ditanya kepada yang bukan ahlinya, kerana
tiap-tiap ilmu itu ada ahlinya. Ahli ilmu itulah yang faham dan mengerti
tentang ilmu yang diketahui dan diamalnya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar