Perlunya
belajar Ilmu Usuluddin terlebih dahulu sebelum memperdalamkan ilmu
Tariqat dan Ilmu Haqiqat kerana di khuatiri kita akan tersasul atau
tersalah dalam I’tiqad kita. Kalau I’tiqad sudah sesat segala ibadat
kita akan hancur sehancur-hancurnya. Bahaya inilah yang paling
dibimbangi oleh Ulama sufi dahulu kala dan zaman sekarang dan banyak
kita saksikan segala macam fitnah yang berlaku di kalangan orang yang
kononnya ahli tariqat atau ahli makrifat atau ahli haqiqat atau ahli
wushul atau ahli irfan dan segala macam nama yang muluk-muluk lagi
mencetuskan kerosakan pada ilmu Tariqat itu sendiri.
Dalil Pertama:
Adapun
dalil kepentingan mempelajari Ilmu Tauhid atau Ilmu Usuluddin khusus
bagi mereka yang ingin memperdalamkan ilmu Tariqat dan ilmu haqiqat
ialah :
Kata Syeikh Daud Al Fathani :
Kata Syeikh Daud Al Fathani :
“Maka
apa ‘kufur’ yang terlebih besar dari kufur ini? Dan apa fikah(pemahaman
atau aliran pemikiran) daripada fikah ini yang membawa kepada zindiq
dan mulhid.Maka sebab yang demikian kerana jahil ia akan hukum Ilmu
Usuluddin dan jahil akan I’tiqad Ahlus Sunnah Wal Jamaah.
Tiada
kenal apa yang wajib bagi Allah dan apa yang mustahil dan apa yang
harus bagi Allah , maka segala ibadatnya (akan menjadi) debu yang
berterbangan, kerana ibadat dan taat itu terhenti di atas sah I’tiqad
iaitu sah iman dan Islam. Maka tiada sah sekelian ibadat dan taat maka
dimana beroleh ia dapat ‘taraqqi’ daripada satu maqam kepada satu maqam ?
Maka jika tiada ada taraqinya betapa dapat fana’ dan betapa dapat
zauknya dan wajdan? Maka betapa ia dapat haqiqat maka jadi sekelian yang
dikatakan ini DAKWA jua dan segala yang menyalahi yang keluar pada tangannya itu,jika ada, dinamakan ‘istidraj’ jua maka tiada dinamakan karamah. Seperti kata Syeikh Muhammad Fadhlullah di dalam Tuhfatul Mursalah.
Dan
setengah daripada pekerjaan yang mustahil pada aqal dan pada syara’
ialah sampai seseorang kepada maqam yang di namakan ‘Wahdatul Wujud’
orang yang tiada menjalani dengan syariat dan tariqat maka ia dapat
haqiqat yang demikian itu adalah DUSTA
dakwanya dan orang yang dakwa SYAITAN. Dan segala perkataannya itu
tiada dapat zauk(Yang haq) dan hanya khabaran jua. Dan dimana ada boleh
ia dapat zauq pada orang sesat di dalam ‘bahrun zindiq’ dan ikhwan
syaithan’. Maka inilah yang ada banyak pada akhir zaman dinamakan DAJJAL
seperti yang di sabdakan di dalam hadis nabi s.a.w. : “Tiada berdiri hari qiamat hingga keluar tiga puluh Dajjal dahulu”.Na’uzubillahi min dzalik”
Daripada Kata Syeikh Daud Al fathani ini dapatlah di simpulkan begini:
Memahami
Ilmu Haqiqat terutama Ilmu yang melibatkan pengalaman keruhanian
iaini musyahadah, zauk, wujdan, mukasyafah dan membicarakan Ilmu usul tahqiq atau Usul Haq
kesemuanya mestilah terlebih dahulu memahami dan memperteguhkan
pemahaman Ilmu Usuluddin supaya I’tiqad kita selamat dan tidak
tergelincir dari mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Kalau belum mantap
dan mahir dalam Ilmu Usuluddin tinggalkan dulu darihal membicarakan
Ilmu Haqiqat apatah lagi memperdalaminya kerana dibimbangi salah
fahaman yang di terimanya. Bila salah fahaman maka salah pula
tindakannya. Bila salah tindakannya maka Bid’ah jadinya. Bila Bid’ah
jadinya neraka datang menggaru.
| |
Kegelinciran
dalam I’tiqad adalah sesuatu yang amat besar! Jika I’tiqad tidak sah
atau diragui kebenarannya maka segala ibadat zahir mahupun batin akan
hancur seperti debu yang berterbangan tiada nilai langsung! Cakapnya
tinggal dakwaan saja atau pengakuan saja tetapi sebenarnya dia
sebenarnya dusta samada dusta pada orang lain mahupun dirinya sendiri.
Tak perlu lagi nak berbicara soal-soal yang hebat-hebat misalnya
musyahadah, muqabalah, mukafahah, makrifat ,laduni, Ahdiah, Lata’yin
atau macam-macam istilah sufi yang muluk-muluk itu kerana ianya tak
lebih pada khabar(cerita) saja.
Inilah
mertabat ghurur(tipudaya) yang tidak disedari dari kalangan
keruhanian yang menyangka diri mereka adalah sufi seperti yang
diceritakan oleh Imam Al Ghazali dalam bab Al Kasyfu wat Tabyin fi Ghururil Khalqi Ajma’in dalam Ihya’ Ulumiddin bahawa dalam kelompok ketiga dari kalangan orang yang ingin bersufi itu bahawa:
“Mengaku
mempunyai ilmu mukasyafah(ilmu yang tersingkap segala hijab) dan
mampu musyahadah dengan Allah Ta’ala melampaui maqam-maqam sufi,
wushul(telah sampai ke darjat makrifat) dan menetapi haqiqat
penyaksian,wushul sampai dekat. Padahal mereka ini tidak pernah wushul
kepada Allah Ta’ala kecuali hanya kata-kata lisan dan nama saja.” Dan
kata Imam Al Ghazali lagi:”Mereka ini mengaku dirinya telah sampai
kepada Allah Ta’ala dan tergolong orang-orang muqarrabin(orang yang
hampir dengan Allah Ta’ala).Padahal di sisi Allah Ta’ala tak lebih
dari pengkhianatyang mungkar dan munafik”.
Marilah
kita memohon keampunan dan Rahmat dari Allah Ta’ala supaya kita tidak
tergolong dalam golongan yang di murkai Allah. Berlindung kita dengan
Allah Ta’ala daripada segala kejahatan yang dijadikanNya.
| |
Tiada
boleh sampai kepada mertabat haqiqat sebelum menjalani syariat dan
tariqat mengikut yang di sepakati dalam sunnah perjalanan kaum sufi.
Dan haram berguru kepada seseorang yang belum sempurna keempat-empat
perkara iaini Syariat,Tariqat ,Haqiqat dan Makrifat mengikut segala
adab dan kawaid kaum sufi.
| |
.
|
Untuk
memahami I’tiqad yang benar itu semestinyalah mempelajari Ilmu
Usuluddin bagi Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang dibangsakan kepada Imam Abu Hassan Asy’ari dan Abu Mansur Maturidi sepertimana yang ditulis oleh Mufti Kerajaan Negara Brunei Pehin Dato Seri Maharaja Dato Seri Utama Haji Ismail Bin Omar Abdul Aziz dalam buku Aqidah Ahlus Sunnah Waljamaah m/s 36 jilid 1 bahawa:
“Berkata
Imam Tajuddin As Subki yang kembali ke rahmatullah pada tahun 771
hijrah dalam Syarah Aqidah Ibni Al Hajib : ‘Yang dimaksudkan dengan
nama Ahlus Sunnah wal Jamaah pada masa sekarang(pada masanya) ialah
pengikut-pengikut Al Imam Al Asy’ari yang mati tahun 324 hijrah dan
pengikut-pengikut Al Imam Abu Mansur Al Maturidi yang kembali ke
rahmatullah pada tahun 332 hijrah’ ”.
|
Dalil Kedua:
Perlu dilihat dari sudut kepentingan Ilmu Usuluddin dan kedudukannya terlebih dahulu dan setelah jelas tentang kedudukannya maka nyatalah betapa perlunya ilmu ini dalam perjalanan atau suluk kita ke makrifatullah.
Adapun
Ilmu Usuluddin ini adalah ilmu yang paling asas sekali, tanpanya
seseorang itu tak akan mengenal Tuhannya. Dan bilamana Tak kenal
bagaimana nak menyembahNya?
Lihat
mabadi Ilmu Usuluddin. Bahawa kedudukannya adalah usul bagi agama dan
segala ilmu yang lain berpunca dari ilmu ini! Dalam kitab Risalah Tauhid di sebut :
“Nisbahnya
dengan ilmu yang lain ialah ilmu yang dibangsakan kepada agama Islam
yang paling utama(pokok) sekali. Dan kelebihannya iaitu semulia-mulia
dan setinggi-tinggi ilmu daripada ilmu-ilmu yang lain. Dan juga kerana
Ilmu Usuluddin(Ilmu Tauhid) ini jadi asal bagi segala ilmu-ilmu yang
lain yang wajib diketahui dan lagi kerana mulia
maudhu’nya(perbahasannya) iaitu Zat Tuhan dan Rasul. Dari itu jadilah ia
semulia-mulia ilmu.”
Masakan
kita kata Ilmu Usuluddin ni tak penting atau pun bolehkah kita
memperkecilkan dia semata-mata kita sudah memperdalami Ilmu Haqiqat atau
Ilmu Zauk? Sebenarnya tak faham ilmu haqiqat masih boleh dimaafkan tapi
awas kalau tak faham atau tak belajar ilmu Usuluddin buruk padahnya!
Bahkan
ada setengah kitab Usuluddin dalam membicarakan tentang
mabadi(pembukaan atau sari kata) Ilmu ini seperti yang tercatit di dalam
kitab Peta Aqidah Tauhid jilid pertama yang di susun oleh Imanuddin Yahya bagi Pasentren Islam Al Ansar Tanjung Pura Langkat bahawa:
“Bahawa tiada ditimbang amalan seseorang jika seseorang itu tiada mempelajari iaini jahil akan Ilmu Tauhid(Ilmu Usuluddin) ini”.
Faqir
percaya semua bersetuju akan kepentingannya TERUTAMA bagi mereka yang
nak terjun ke alam tariqat, haqiqat dan makrifat. Tiada alasan, soal
tidak memadai dengan mempelajari Usuluddin tanpa memperkayakan dengan
ilmu tariqat dan haqiqat itu persoalan kedua tetapi nak memperemehkan
kepentingan Ilmu Usuluddin Faqir dalam apa keadaan sekalipun tidak
bersetuju.
Faqir juga mengharapkan kita insya’allah lebih berhati-hati dalam persoalan membicarakan maratib ilmu(Tertib ilmu).
Jangan
sampai kita memperemehkan atau memperbandingkan (mengikut fikiran nafsu
samar kita) ilmu-Ilmu Islam sampai kadang kala terlancut perkataan
‘Ilmu hak tu tak sampai kemana’ atau ‘sekadar ilmu kulit sahaja’
dijauhkan Allah daripada kita bersikap demikian. Itu tanda kita jahil
adab.
Sebenarnya
semua ilmu tak kira asalkan ilmu itu dibenarkan syara sementelah ilmu
yang dituntut syara maka wajib kita mencintainya nisbah melihat
keindahan ciptaanNya.
Dalil Ketiga
Dalam Buku Ilmu Tasauf karangan Ulama Diraja Ustaz Muhamad Samman Khati
yang di susun oleh Saudara Mokhtar Petah menjelaskan kepada kita bahawa
wajib bagi orang yang ingin terjun ke dalam dunia keruhanian (Tariqat).
Mesti mempelajari dan mahir dalam bidang Usuluddin supaya tidak sesat
dalam perjalanannya kerana syaitan sentiasa berusaha merosak kan I’tiqad
si salik supaya hancur segala amalannya.
Dalil Keempat
Dalam Kitab Sirrus Salikin bagi karangan Syeikh Abdus Samad Al Falimbani Jilid Ketiga
ada menyatakan bahawa syarat untuk seseorang itu berbai’ah tariqat
terlebih dahulu mursyidnya mengajar akan taubat dan ilmu fardhu ‘ain
iaitu Ilmu Usuluddin, Ilmu Fiqah dan Ilmu Tasawuf maka barulah ia
ditalkinkan dia akan tariqat.Apatah lagi bukan terus belajar haqiqat !!
Faqir menyambung kata Syeikh Daud Al Fathani bahawa:
“Betapa
ia dapat Ilmu haqiqat padahal Ilmu Usul belum ia tahu dengan baik dan
ilmu syariat yang zahir tiada dapat ia faham pada pekerjaan ibadat yang
fardhu dan sunat dan sah dan batalnya istimewa pula ia mengetahui ilmu
Tariqat. Maka takut diri tiada ada orang yang berkepercayaan pada
agamanya pada Usuluddin , ilmu yang zahir lagi mudah maka apa pula kita
percayakan dia pada ilmu haqiqat yang tiada sempurna kepadanyamelainkan
dengan ‘suluk’ pada guru yang mursyid lagi yang washil ilallahi Ta’ala
dengan zauk dan wajdan yang di dapatnya dengan syuhud dan a’yan dan
tiada lagi berkehendak kepada dalil dan burhan”.
Kesan dan akibat jika Ilmu Usuluddin diabaikan atau tiada mahir dalam persediaan untuk menjalani Ilmu Tariqat dan ilmu Haqiqat.
.
|
Dikhuatiri
akan menyebabkan fahaman pegangan I’tiqad terkeluar dari mazhab yang
diredhai iaitu mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah secara tidak disedari
dan mengakibatkan terkeluar daripada kaedah sunnah kaum sufiah
sepertimana dikatakan oleh Qutubul Ariffin Al Kabir Syeikh Abdul Aziz al Dabbagh r.a. dengan katanya :
“Tidak
akan terbuka (dari selindung hijab) kepada seorang hamba melainkan
jika ia berada dalam pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Tidak ada
seorang wali Allah dari aqidah selainnya.”
Maka
akan terjadilah penyelewengan yang menyeret orang lain kekancah
zindiq akibat kecuaian ini. Justru itu lahirlah bermacam-macam fahaman
yang pelik-pelik sesat lagi menyesatkan misalnya yang dinyatakan oleh
Syeikh Abdul Qadir Jilani dalam Kitab Sirrul Asrar dan Tuhfatur Raghibin bagi Syeikh Muhammad Arsyad yang
menyatakan puak sesat dalam kaum yang ingin bersufi. Perkara-perkara
salah I’tiqad ini adakalanya berhubung dengan ketuhanan adakalanya
berhubung dengan kenabian adakalanya berhubung dengan sam’iyat iaini
perkara-perkara ghaib yang di sampaikan oleh Rasulullah s.a.w.
contohnya
Kesemua
di atas tadi adalah contoh-contoh I’tiqad yang sesat lagi menyesatkan
yang tiada boleh di pegang dalam menjalani jalan tariqat .(boleh
rujuk Risalah Tasawuf Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal sebagai panduan berhubung dengan I’tiqad yang sesat bagi yang nak bersufi).
| ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Tertipu di alam malakut iaini alam keruhanian
Bilamana
tiada punya ilmu yang cukup terutama Ilmu Usuluddin(tak terkecuali
Ilmu Feqah dan Ilmu Tasawuf sekurang-kurangnya kadar fardhu ‘ain) maka
syaitan dan jin(makhluk halus) akan mudah memperdayakan dan dah
banyak terjadi. Apabila seseorang berada di alam ini segala macam
tipudaya berkumpul di sini. Apa yang faqir di beritahu bahawa pokok
persoalan tipudaya di alam ini ialah untuk merosakkan niat dan I’tiqad
bagi orang yang menempuh di alam ini. Sebab itu di samping ilmu yang
mencukupi bimbingan Syeikh Mursyid yang kamil mukamil amat penting di
sini. Di alam malakut ini seseorang akan di buka sesuatu yang ajaib,
indah(di sisi alam rendah) tapi penuh prasangka dan apabila prasangka
sudah terkena maka title diri pun menjelmalah.
Mulalah
dah mengaku sultanul Auliya, Wali Quthub, Wali abdal, Ghaus tak
kurang juga versi nusantara panglima hitam, Panglima Berantai, Hang
Tuah, Tuk janggut, Daeng Prani, Daeng Selili dan macam-macam lagi yang
kadangkala menakutkan menggayatkan orang yang mendengarnya mungkin
juga tak lama lagi timbul pulak Osama Ben Laden di alam malakut.
Dijauhkan kita oleh Allah Ta’ala akan terkena sangkaan dan di
lindungnya di atas jalan syariatNya.
Ada
juga yang percaya pada tanasukh iaini ruh wali menyelap ke dalam
tubuhnya ini juga suatu bahaya yang merosakkan iman dan Tauhid kita
kepada Allah Ta’ala. Manakala kalau fasal mimpi saja bagi yang
menempuh alam ini bertambun banyak asyik-asyik mimpi , kadangkala dah
kerana terlalu ta’asub dengan mimpi semua kerja buat dan usahanya
pasti tunggu mimpi kerana di sangka mimpi tu ilham.
Alam
ini juga selalu terjadinya kasyaf kauni iaini tersingkap baginya
rahsia sesuatu benda(taraf keduniaan) atau apa saja pandangan yang di
nisbah kepada bathin termasuk dalam hal perubatan, menilik(scan),
nampak atau berfirasat akan hati atau sifat orang lain yang kesemuanya
ini masih bukan tujuan tariqat yang sebenar dan bilamana seseorang
terhenti pada hal-hal ini maka syaitan telah berjaya memesongkan
tujuan dan niatnya dan akhirnya segala macam keupayaan zikir-zikir
atau wirid-wirid atau muraqabahnya dapat di gunakan secara halus atas
maslahat diri(keduniaan) cuma versinya saja bertukar atau datang di
bisik akan hati kecil bahawa aku sudah kasyaf, aku sudah boleh scan
hati orang, aku sudah boleh bantu orang lain jadi mungkin Allah dah
lantik aku menjadi waliNya sebab semua permintaan aku sudah dimakbul
Allah. Maka ujub pun datang menyelinap dalam hati kecil kita tanpa
disedari habis segala amalan kita hancur sehancurnya. Mohon kepada
Allah Ta’ala akan taufiq dan hidayahNya. Mengapa kita suka pada title
atau suka membuat pengakuan? Lihat bagaimana sikap baginda Rasulullah
s.a.w. bila dalam satu riwayat bahawa Allah Ta’ala bertanya kepada
semua Ulul Azmi:
Wahai
Nuh siapa kamu? Aku najiyallah(yang di lepaskan oleh Allah), Wahai
musa siapa kamu? Aku kalamullah. Wahai Isa siapa kamu? Aku
ruhullah(Yang dimasukkan ruh oleh Allah ke dalam perut Siti Mariam
tanpa bapa) Wahai Ibrahim siapa kamu? Aku Khalilullah (Teman bagi Allah)
dan bila di tanya kepada baginda Rasulullah s.a.w. Wahai Muhammad
siapa kamu ? maka jawab baginda s.a.w. Ana yatim( aku anak yatim tiada
ibu dan ayah).
Baginda
seorang nabi yang paling tinggi mertabatnya dan tiada yang paling
atas mertabatnya di sisi Allah Ta’ala melainkan hanya baginda seorang
tapi terlalu merendah diri jauh dari inginkan sebarang gelaran tapi
kita baru boleh berzikir sikit baru boleh sholat sunnat terbuka di
alam malakut saja dah terkejut dan terus mabuk dengan pengakuan demi
pengakuan. Itu tandanya syaitan dah tipu kita supaya kita leka dengan
sanjungan orang ,suka dengar pujian orang itulah suma’ah namanya iaini
penyakit hati yang menyerang kita tanpa kita ketahui akibat cuai
belajar ilmu tasawuf dan usuluddin.
Mudah
saja kalau kita nak ukur diri kita sendiri caranya ialah bilamana
kalau orang puji kita atau orang sayang kita atau orang angkat kita
apa agaknya rasa hati kecil kita ? rasa syok dak, rasa bangga ke, rasa
lega ke kalau ada berdegup rasa-rasa ini itu tanda jangan harap kita
boleh terselamat di alam malakut ni kerana pengaruh dunia dan maslahat
diri masih menebal atau menyorok di dalam sanubari kita. Sebab itu
niat dan Tauhid mesti tepat , padu dan murni samada ilmunya , amalnya
ataupun halnya.
|
Suatu masalah.
Nanti
ada yang berhujjah pulak mengapa Syeikh Abdul Qadir Al Jilani mengaku
dia nya sultanul Auliya dan kewaliannya amat tinggi sehingga dikatakan
leher para wali di bawah kakinya? Soal Syeikh Abdul Qadir Jilani itu
soal lain dan ada cerita lain dan tak boleh di anggap takabur. Soalnya
apakah kita ni dah sama taraf dengan Syeikh Abdul Qadir Jilani ke ?
Bagaimana
ibadatnya, ilmu nya samada muamalahnya mahupun mukasyafahnya,
mujahadahnya, wara’nya ukur lah dulu baru boleh pasti! Yang faqir risau
air kaki Syeikh Abdul qadir jilani pun belum sama taraf dengan kita lagi
apatah lagi nak di ukur dengan ilmunya, amalnya dan sebagainya.(maaf
bahasa agak kesat) Maka berpijaklah bumi yang nyata. Akuilah kelemahan
dan kedhaifan kita itu lebih baik untuk kita dari kita daripada mengaku
benda yang kita sendiri tiada di beri ilmu tentangnya.
Ingatlah
segala maqam yang di kejar, title, ilmu kiramah ibadat kita masih belum
ada jaminan kita selamat di sisi Allah Ta’ala sedangkan Allah hanya
menjamin orang yang benar-benar ikhlas terhadapNya. Dan sesungguhnya
ikhlas itu rahsia Allah Ta’ala dan segala ibadat yang diterima Allah
Ta’ala di akhirat nanti hanyalah ibadat yang ikhlas maka siapakah boleh
mendakwa di sini (di dunia ini) bahawa dia sudah ikhlas? Sebab itulah
orang yang mengaku itu dan ini seolah-olah telah ketahui amalannya sudah
makbul apa benarkah dia? Gunakanlah aqal dan timbangan syara’ supaya
kita tidak ta’asub buta ! Wallahu’alam.
Masalah kedua.
Timbul
pula satu dakwaan bahawa berkawan dengan makhluk halus iaini jin atau
khadam atau muakal ayat adalah satu kiramah juga. Ini adalah merupakan
suatu ‘gejala’ atau tipudaya di alam malakut ini akibat daripada tak
menguasai ilmu Usuluddin(darihal bab perkara-perkara yang menyalahi
adat).
Bukannya
semua di alam malakut ini boleh kita terima sewenang-wenangnya. Memang
ada pendapat ulama berpendapat bersahabat dengan jin itu hukumnya harus
TETAPI ada syarat-syaratnya dan bagi murid yang hendak dan sedang
berjalan menuju makrifat dengan sebenar-benar makrifat kepada Allah
Ta’ala maka HARAM dia bersahabat dengan jin walau apa jenis jin pun
(walau kembarnya sekalipun) bahkan layan pun tak boleh kerana jin itu
sendiri ada jazbahnya(tarikan) yang tersendiri yang mana jazbahnya itu
amat bertentangan sekali dengan jazbah fillah (untuk makluman lanjut
sila baca Buku Mengenal Diri dan Wali Allah karangan Ustaz Mustapha al Jiasi anak murid Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal Syeikh Mursyid Tariqat Ahmadiah dalam bab Keramat Khadam).
Ada
juga yang berpendapat bahawa bersahabat dengan makhluk halus itu adalah
suatu kiramah atau anugerah dari Allah. Pendapat ini tidak benar kata Syeikh Abdul Wahab Asy Sya’roni di dalam kitab Yawaqitu wal Jawahir yang dinukil dari kitab Tuhfatur Raghibin :
“Bahawa
bersahabat dan bersekedudukan dengan jin itu sangat keji. Barangsiapa
memilih dan melebihkan sekedudukan dengan jin daripada sekedudukan
dengan ulama maka orang itu sangat jahil. Kerana yang ghalib atas jin
itu adalah perbuatannya dan perkataannya berlebih-lebihan dan dusta jua
seperti kelakuan manusia yang fasiq. maka orang yang beraqal berlari ia
daripada bersahabat dan bersekedudukan dengan dia(jin) seperti liar ia
bersahabat dengan orang fasiq”.
Dan kata Syeikh Mahyuddin Ibnu Arabi dalam kitab Al Futuhat yang faqir nukil dari kitab Tuhfatur Raghibin iaitu :
“Adalah
orang yang sekedudukan dengan jin itu tiada beroleh ilmu akan Allah
kerana jin itu sangat jahil akan Allah dan akan sifat Nya”.
Dan di jelaskan lagi oleh kitab yang sama (Tuhfatur Raghibin) :
“Dan
terkadang menyangka oleh yang sekedudukan dengan dia (jin) itu bahawa
segala perkara yang dikhabarkan oleh jin daripada barang yang berlaku di
dalam alam itu adalah karamah daripada Allah Ta’ala baginya. Maka
sangkanya itu adalah bathil. Dan hanya adalah yang kesudahan jin kepada
manusia itu bahawa di beri tahu akan segala khasiat segala
tumbuh-tumbuhan, dan khasiat batu dan kahsiat isim dan huruf maka iaitu
dibilangkan daripada Ilmu Kimiya jua iaitu ilmu yang di cela syara’ “.
Ini
menunjukkan dakwaan bersahabat atau bersekedudukan dengan jin (makhluk
halus) sebagai karamah adalah suatu kesilapan besar! Sudahlah menjadi
hijab dalam perjalanan makrifat kemudian di ajar pula ilmu-ilmu yang
menyebabkan kita akan bertambah jauh dari Allah Ta’ala. Adakah ilmu ini
(ilmu yang di ajar oleh jin atau makhluk halus) di panggil laduni,
waridat, ilham atau mukasyafah? Pohon kita kepada Allah Ta’ala
mudah-mudahan di simpangkan dari fahaman ini.!
Sebab
itu biar kita di pimpin oleh Syeikh Mursyid yang arif lagi alim
benar(alim syariat dan alim haqiqat) atau istilah lain ‘tahu benar’
barang yang haq dan bathil darihal alam malakut ini.
Ada
juga mengkiaskan bagaimana Nabi Sulaiman a.s. boleh bersahabat dengan
jin mengapa kita tak boleh? Ini adalah kias yang tidak kena pada
tempatnya. Jangan samakan mukjizat dengan diri kita yang penuh dengan
noda dan dosa. Itu adalah suatu kesilapan yang amat besar !
Para
ambiya adalah ma’sum dan mereka di kurniakan mukjizat dengan
bermacam-macam yang hanya Allah Ta’ala saja Yang Maha Mengetahui akan
hikmahnya. Memadailah kita mengikut akan barang yang nyata dalam
syariatNya jangan cuba untuk menyeluk lebih jauh tanpa bimbingan guru
yang aribillah.
Jangan taasub dengan mazhab tariqat sahaja.
Di
antara gejala ‘sempit fikiran’ dan perkara yang di larang ialah ta’asub
pada wasilah atau mazhab tariqat. Pengertian taasub pada wasilah ialah
bermaksud kasihnya terhadap tariqatnya sehingga membawa cedera pada
Tauhid dan ubudiyyahnya. Sehingga ada yang mendakwa bahawa hanya
tariqatnya saja yang paling top, paling hampir, paling berkesan bahkan
di dakwanya tariqat merekalah yang paling suci dan tiada tariqat yang
paling hebat kecuali tariqatnya saja.
Inilah
akibatnya apabila penguasaan ilmu di abaikan sewaktu sebelum bertariqat
atau mengabaikan proses menuntut ilmu dikala sesudah bertariqat.
Pemahaman kepada mazhab jamaah tariqat yang sempit menyebabkan fitnah
akan merobek di dalam perjalanan kita.
Kembalilah
kepada asas ilmu Tasawuf yang menuntut kepada tawadhu’ dan kerendahan
diri yang benar. Jangan adakalanya kita sebagai yang menjalani ilmu
tariqat itu di satu masa terlalu merendah diri tetapi di satu masa pula
terlalu taasub dan meninggi diri seolah-olah orang lain seperti ‘katak
keredek’ yang tiada dapat apa-apa habuan rahmat Allah Ta’ala.
Janganlah
kita anggap kasyaf yang ada pada kita (kononnya) sudah menyebabkan kita
memandang rendah pada orang yang tiada bertariqat atau golongan awam
kerana ketahuilah kasyaf yang semacam itulah yang akan membawa kita
kepada bahaya ujub dan penyakit terkena sangka yang bathil. Apa yang
faqir di ajar bahawa sifat orang kasyaf ini amat tawadhu lagi begitu
menyembunyikan pandangan kasyafnya. Tidak di hebahkannya bahkan lagi
tersingkap kasyaf maka lagi jahil dia sabit tenggelam dalam Kebesaran
Allah Ta’ala.
Secara
lazimnya ahli tariqat yang sempit fikiran dan ditimpa ta’asub buta
merasakan kasyaf yang didapatnya itu sudah sampai pada kemuncaknya dan
yang paling malang sekali di yakinkan bahawa kasyaf itu melebihi dari
usul kaum sufi iaitu Al Quraan dan Sunnah.
Sehingga
ada puak yang melampau dalam dapatan ruhani mereka sehinggakan
seolah-olah mereka sudah sampai sebagaimana yang Rasulullah s.a.w.
sampai. Alangkah malangnya dipohon lindung daripada Allah Ta’ala akan
puak ini.
Sebenarnya
ketahuilah bahawa Tariqat secara umumnya ialah jalan mengenal Allah
Ta’ala atau jalan menuju kepada kehampiran(qurb) kepadaNya dengan
mendapat redha dan kasihNya. Adapun Ulama sufi menjelaskan bahawa jalan
menuju kepada Allah Ta’ala itu terlalu banyak dan ada yang mengibaratkan
sebanyak bilangan nafas makhluk. Ini bermakna terlalu banyak dan tiada
di hinggakan! Bayangkan betapa banyaknya jalan yang menyampai kepadaNya.
Dan ada ulama mengatakan seumpama sebanyak jari jejari yang menghubung
kepada satu titik pusat dan ini bermakna terlalu banyak tariq atau cara
yang menyampai kepadaNya. Dan ada orang yang Allah Ta’ala sampaikan ke
hadratNya tanpa melalui jalan mazhab tariqat (yang khusus) iaini tanpa
syeikh. Mungkin saudara akan terkejut ! Memang benar kata faqir. Sebab
itu faqir kata ilmu Allah Ta’ala Maha Luas bukan seluas fikiran kepala
kita jadi jangan ta’asub buta pada wasilah!
Ini dinyatakan di dalam kitab Ad Durun Nafis yang Di karang oleh Syeikh Muhammad Nafis Bin Idris Al Banjari :
“Syahdan
maqam inilah (iaini maqam Wahdatul af’al) yang mula-mula ia anugerahkan
Allah Ta’ala kepada orang yang salik(yang belajar setingkat demi
setingkat di bawah pengawasan Mursyid) atau kepada orang yang lainnya
iaitu seperti orang yang majzub umpamanya dan erti orang yang majzub itu
di ambil Allah Ta’ala dengan terkejut serta dirinya tahu akan mengenal
ZatNya dan SifatNya dan asmaNya dan af’alNya daripada tiada mengerjakan
ibadat dan tiada talqin daripada guru dan tiada ijazah masya’ih.”
Ini
bermakna harus bagi Allah Ta’ala memilih sesiapa yang dikehendakiNya
untuk di perkenalkan DiriNya dengan jalan majzub atas sifat Kehendak dan
Pemurah dan PengasihNya. Sepertimana Firman Allah Ta’ala:
“Allah menyesatkan siapa yang dikehendaki dan memberi hidayah siapa yang dikehendaki”.
Inilah yang dinamai sebagai ‘Kurnia’
iaitu sesuatu yang di dapat bukan dengan jalan ikhtiar tetapi atas
kehendak dan pilihan Allah Ta’ala sendiri. Manakala jalan usaha untuk
menujunya iaitu dengan ibadat amal dan bimbingan Guru di namai akan ‘anugerah’
Allah Ta’ala atas ikhtiarnya di dalam taat. Cumanya orang yang majzub
itu khusus dan bukan umum dan bukan sunnah untuk di ikut secara
lazim(biasa). Dan akhirnya orang yang majzub itu sendiri akan kembali
menjadi salik.
Fahamilah
ini betapa luasnya rahmat Allah Ta’ala dan apa yang penting supaya kita
belajar dan terus belajar supaya tidak menjadi sempit fikiran dan
dijauhkan Allah Ta’ala dari menjadi orang yang ta’asub buta.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar