Al Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali R.A, berpendapat akal
memainkan peranan yang penting kepada manusia untuk menerima ilmu pengetahuan.
Beliau merumuskan akal berperanan sebagai gudang ilmu. Dalam erti kata lain
akal berperanan menentukan 'kasta' seseorang manusia pada darjat atau kedudukan
yang baik dan terpuji kerana keilmuan tersebut. Hal ini bertepatan dengan
realiti masyarakat, di mana manusia yang berilmu dan luas pengetahuan dipandang
mulia oleh masyarakat.
Di dalam Al-Quran al-Karim Allah SWT mengulang-ulang perkataan yang berkaitan
dengan akal melebihi 50 kali. Ini menunjukkan betapa mulianya akal kepada
manusia berbanding makhluk yang lain. Melalui nikmat akal tersebut manusia
menerima taklif. Menerusi akal juga manusia mencari petunjuk serta kebenaran
untuk menjadikan kehidupan mereka menghala kepada kebaikan dan menjauhi
keburukan.
Akal juga sangat luas peranannya kepada kehidupan manusia. Melalui akal manusia
berfikir dan mengkaji untuk menjadikan kehidupan lebih bermakna. Akal akan
melahirkan idea yang berkesan untuk menentukan baik buruk sesuatu perkara.
Allah SWT menjadikan manusia sebagai makhluk yang sangat dinamik kerana
penganugerahan akal tersebut. Melaluinya manusia mampu mentadbir dan
memakmurkan dunia ini bagi melunasi taklif sebagai 'khalifah' serta mematuhi
segala perintah dan menjauhi segala laranganNya.
Pun begitu, kemampuan akal adalah terbatas. Akal tidak mampu menanggap atau
memikirkan semua perkara. Oleh sebab itu, manusia perlu menyedari dan
menginsafi akan hal kejadian mereka yang tidak terlalu sempurna supaya
menjadikan kehidupan seimbang dan tidak bersifat angkuh, sombong dan
sebagainya. Renungi sejenak! Akal hanya mampu menaakul apa yang berkaitan
dengan alam nyata sahaja, sedangkan apa yang menjangkaui alam ghaib akal tidak
dapat mengetahuinya kecuali melalui wahyu sebagaimana yang berlaku kepada
perutusan para nabi dan rasul Allah.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar