Satu unsur sangat menonjol pada penciptaan manusia ialah akal
fikiran yang menjadikan insan makhluk istimewa berbanding yang lain sehingga
layak menggalas amanah sebagai khalifah di bumi.
Islam memandang tinggi akal fikiran kerana ia sumber segala ilmu malah banyak
disebut dalam al-Quran.
"Jika Kami turunkan al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau
lihat gunung itu tunduk serta pecah- belah kerana takut kepada Allah. Contoh
perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka
memikirkannya." (a-Hasyr:21)
Keutamaan akal fikiran ini ditegaskan Rasulullah s.a.w dalam dalam satu hadis
daripada Ibnu Hibban, maksudnya: "Berfikir sesaat lebih baik daripada
beribadat setahun."
Dalam satu kisah, Abu Said al-Khudri menyampaikan sabda Rasulullah yang
bermaksud: "Berilah hak matamu di bidang ibadat!"
Sahabat bertanya: "Apakah hak mata di bidang ibadat itu wahai
Rasulullah?" Jawab Rasulullah: "Membaca al-Quran, memikirkan isinya
dan mengambil pengajaran keajaiban kandungannya."
Wahab bin Munabih pula berkata: "Semakin tajam seseorang itu berfikir,
semakin berilmulah dia dan apabila dia berilmu, semakin banyaklah
amalnya."
Al-Ghazali berkata, akal itu mulia dan menjadikan manusia mulia. Melalui akal,
manusia mendapat ilmu.
Ibn Khaldun bersetuju akal fikiran (quwwah natiqah) membezakan antara manusia
dengan makhluk lain.
Menurut Aristotle, jiwa manusia adalah hakikat diri manusia dan potensi berfikir
adalah sebahagian darinya, sementara orang bijak pandai berkata 'berfikir itu
pelita hati.'
Hasan al-Basri r.h berkata: "Sesungguhnya golongan yang berfikir mereka
sentiasa mengulangi apa yang mereka ingati, sehinggalah hati mereka dapat
berbicara dengan kata-kata hikmah."
Lukman al-Hakim berkata: "Sesungguhnya dengan lamanya duduk, aku akan
lebih memahami untuk berfikir dan panjang berfikir, petunjuk jalan ke
syurga."
Imam al-Ghazali menyifatkan akal fikiran sebagai sumber, tempat terbit dan asas
ilmu. Ilmu pula apabila dinisbahkan kepada akal ibarat buah kepada pokok,
cahaya kepada matahari, pandangan kepada mata.
Beliau memberikan empat kategori mengenai akal:
i. Akal merujuk kepada suatu sifat yang membezakan manusia dari sekalian
haiwan. Akal dalam erti kata ini adalah sifat semula jadi manusia.
ii. Akal merujuk kepada ilmu daruri, terhasil apabila seorang mencapai usia
tamyiz. Ilmu daruri ialah ilmu membolehkan dikenali perkara wajib, mustahil dan
harus pada akal. Contohnya, mustahil seorang manusia di dua tempat pada satu
masa.
iii. Akal merujuk kepada ilmu pengetahuan diperoleh melalui uji kaji dan
pengalaman hidup.
iv. Akal merujuk kepada kesempurnaan sifat akal, apabila ia mengetahui akibat
setiap perkara dan mengekang syahwat dari menurut kelazatan sementara.
Apabila keadaan ini terhasil pada diri seseorang, dia dipanggil 'manusia
berakal' kerana yang memandu tindakannya ialah kesedaran dan keinsafan terhadap
perbuatannya, bukan dorongan hawa nafsu.
Merujuk kepada kategori ketiga, iaitu ilmu yang dipelajari dari pengalaman,
perbezaan antara manusia berpunca daripada kemampuan asli akal itu sendiri dan
pengalaman dilalui.
Bagi kategori keempat, perbezaan manusia kerana berbeza kemampuan mengekang
nafsu. Manusia memiliki keupayaan berbeza dalam hal ini, bahkan seseorang
mungkin berupaya mengekang nafsu dalam perkara tertentu dan tidak dalam hal
lain.
Faktor yang boleh dikaitkan dengan akal fikiran dalam perbezaan ini ialah ilmu
yang menyedarkan seseorang mengenai kemudaratan, akibat hawa nafsu. Seorang
yang berilmu lebih mampu menjauhi maksiat berbanding si jahil kerana lebih tahu
kemudaratannya.
Akal fikiran membolehkan manusia menilai baik dan buruk, mampu membezakan di
antara yang benar dan palsu, bersih dan kotor, untung atau rugi, malah memandu
untuk mengenal diri dan Penciptanya.
Penggunaan daya fikir yang tinggi dan lebih serius membolehkan manusia mencapai
ketamadunan dan kemajuan dalam pelbagai lapangan.
Umat Islam satu ketika mampu meraih kegemilangan apabila menggunakan kemampuan
daya fikir yang tinggi, sebagaimana ditonjolkan tokoh Muslim seperti Jabir bin
Haiyan, al-Kindi, al-Khwarizmi, al-Farabi dan banyak lagi.
Al-Kindi (801-873) misalnya, cukup terkenal di Barat dengan nama Alkindus,
seorang cerdik pandai Arab dalam pelbagai bidang, terutama sains, astrologi,
kosmologi, logik, matematik, muzik, fizik, psikologi dan meteorologi.
Kisah seorang Barat, Isaac Newton (1643-1927), iaitu seorang ahli fizik,
matematik, falsafah dan astronomi yang terkenal dengan penemuan formula graviti
wajar juga diambil pengajaran.
Sejak lahir beliau tidak pernah melihat bapanya bekerja sebagai petani, kerana
beberapa bulan sebelum lahir bapanya meninggal. Kehidupan beliau sangat susah,
namun masih berpeluang mendapat ijazah sarjana muda pada usia 22 tahun.
Pada suatu malam, beliau berjalan-jalan di sekitar kebun sambil berfikir dan
memerhatikan keadaan sekeliling. Tanpa sedar, fikirannya berakhir pada satu
persoalan; mengapa bulan bergerak mengelilingi bumi?
Selepas letih berjalan dan tidak mendapat jawapan, beliau berehat di bawah
pohon epal. Tiba-tiba buah epal jatuh berdekatannya.
Kejadian itu menimbulkan persoalan di dalam benaknya. Mengapa buah itu harus
jatuh tepat di bawahnya dan tidak ke sekitarnya atau ke atas?
Beliau berfikir lagi hingga menemui satu kesimpulan, iaitu buah epal jatuh ke
bawah kerana adanya tarikan dari bumi dan daya seperti itu dinamakan daya
graviti. Ia bukan saja berlaku pada bumi, malah planet lain termasuk bulan,
bintang dan matahari mempunyai daya gravitinya.
Demikianlah dengan kemampuan dan kehebatan akal fikiran. Bahkan, dengan fikiran
yang sihat dapat memupuk keimanan kepada Allah serta menolak perkara bersifat
tahyul dan khurafat
Tidak ada komentar:
Posting Komentar