[Kewujudan makhluk rohani yang diciptakan daripada api yang tiada asap (jin)]
Dia campurkan api dan tumbuh-tumbuhan, maka bentuk jin dijadikan
sebagai ruang di antara dua keadaan.
Ia adalah di antara roh yang berjasad dengan tempat yang dalam
dan roh yang tiada “di mana”.
Yang menerima jasad mencari makanan
untuk pembesaran tanpa kepalsuan,
Dan yang menerima malaikat-malaikat, menerima hati bagi
mengambil bentuk dalam keasliannya.
Kerana sebab ini, ia mentaati pada satu ketika dan menentang pada ketika lain
Dia akan balas mereka yang tidak taat dengan dua api.
[Penciptaan Jin, malaikat dan manusia]
Allah berfirman,
“Dia ciptakan jin daripada pucuk api yang tiada asap” (55:14).
Hadis menceritakan,
“Allah ciptakan malaikat daripada
nur, dan Allah ciptakan jin daripada api, dan Dia ciptakan manusia
daripada apa yang telah dikhabarkan kepada kamu”.
Apa yang Rasulullah s.a.w katakan mengenai
ciptaan manusia “seperti yang telah diceritakan kepada kamu”, baginda
memberi ketegasan dan tidak menjelaskannya seperti yang baginda lakukan
pada menceritakan ciptaan malaikat dan jin. Rasulullah s.a.w “diberikan
segala perkataan”. Ini adalah sebahagian daripadanya. Asas ciptaan
malaikat dan jin tidak berubah. Asas ciptaan manusia berubah kerana ada
empat kategori kejadian manusia. Kejadian Adam tidak menyerupai kejadian
Hawa. Kejadian Hawa tidak meneyrupai kejadian keturunan Adam yang lain.
Kejadian Isa tidak menyerupai yang lain. Di sini Rasulullah s.a.w
memberi penjelasan. Baginda menyampaikan kepada kita perincian kejadian
manusia. Adam diciptakan daripada tanah liat, Hawa daripada tulang
rusuk, Isa daripada tiupan Roh, keturunan Adam daripada
“air yang hanyir” (77:20).
[Konsep perkaitan langit dan bumi]
Bila Allah dirikan empat anasir
asas dan asap naik ke bahagian bawah Sfera Bintang-bintang Yang Tetap,
tujuh langit dibentangkan di dalam asap itu, setiap satu berpisah
daripada yang lain. Dia
“bukakan pada setiap langit ketentuannya”
selepas
“Dia adakan dalamnya rezekinya”
dan semua ini
“dalam empat hari”.
Kemduian Dia berfirman,
“kepada langit dan bumi: Datanglah dengan rela atau terpaksa”. (41:9-11).
Kemudian Allah adakan perkaitan di antara
langit dan bumi dan arah yang dengannya Dia berkehendak mengadakan
benda-benda di bumi dalam bentuk bahan galian, tumbuh-tumbuhan dan
haiwan. Dia jadikan bumi
seumpama isteri dan langit seumpama suami. Langit menyalurkan perintah
Allah kepada bumi sebagaimana suami memindahkan air mani kepada
isterinya. Dengan demikian bumi membawa keluar jenis-jenis pembentukan
yang Allah sembunyikan di dalamnya.
[Empat anasir dan pembentukan manusia dan jin]
Bila udara dinyalakan dan
dipanaskan, ia membakar seperti pelita. Pembakaran api itu adalah
nyalaan udara dan ianya tidak berasap (marj, bercampur-aduk) kerana ia
bercampur dengan udara dan adalah udara yang terbakar. Marj adalah
campuran dan daripada ini yang tidak berasap itu adalah marj kerana
tumbuh-tumbuhan bercampur di dalamnya.
Jin adalah campuran dua anasir
iaitu api dan udara, sebagaimana manusia merupakan campuran dua anasir
iaitu air dan tanah diuli bersama yang menjadikannya tanah liat. Begitu
juga campuran udara dan api dinamakan ‘api yang tidak berasap’. Allah
ciptakan bentuk jin dalam api yang tidak berasap itu. Oleh kerana anasir
udara ada dengan jin, maka jin boleh mengambil berbagai-bagai bentuk
yang mereka mahu. Oleh kerana ada anasir api dengannya maka ia menjadi
tidak nyata dan seni, dan mereka mencari kekuasaan, kemegahan dan
kekuatan kerana api merupakan bahagian yang paling tinggi dalam
anasir-anasir itu dan ia mempunyai pengaruh yang kuat untuk menukarkan
sesuatu sebagaimana hukum alam kehendaki. Inilah sebabnya jin iblis
menyombong dan enggan sujud kepada Adam bila Allah memerintahkannya
berbuat demikian lantaran pandangannya yang tinggi terhadap dirinya. Dia
berkata,
“Aku lebih baik daripadanya” (7:12),
bermaksud menurut dasar bahawa Allah lebih menyukai api daripada anasir-anasir yang lain.
Jin tidak tahu bahawa anasir air yang
daripadanya Adam diciptakan lebih kuat daripada api kerana air boleh
memadamkan api dan tanah adalah lebih teguh daripada api melalui
kesejukan dan kekeringan. Adam
memiliki kekuatan dan kemantapan melalui penguasaan dua anasir tersebut
yang Allah jadikannya. Walaupun dia juga memiliki anasir-anasir yang
lain – udara dan api, anasir tersebut tidak ada kekuasaan atasnya. Jin
juga memiliki anasir-anasir selebihnya….
Adam dikurniakan sifat rendah diri
berdasarkan sifat tanah yang ada dengannya. Bila dia menjadi megah, itu
hanyalah yang datang kemudian (bukan sifat semulajadinya). Dia menerima
sifat tersebut kerana anasir api yang ada dengannya sebagaimana
imaginasi dan keadaannya menerima berbagai-bagai suasana kerana anasir
udara dengannya. Jin bersifat menyombong kerana sifat api yang ada
dengannya. Jika mereka merendah diri, itu adalah yang datang kemudian
(bukan sifat asli), ia boleh datang kerana anasir tanah yang ada
dengannya. Mereka juga menerima ketetapan dalam menggunakan tipu daya
jika mereka syaitan, dan menerima ketetapan untuk berbuat taat jika
mereka bukan syaitan.
[Keadaan jin bila surah ar-Rahman (surah 55 dalam Quran) dibacakan]
Bila Rasulullah s.a.w membacakan
surah ar-Rahman kepada para sahabat baginda, baginda bersabda, “Aku
membacakannya kepada kumpulan jin. Mereka mendengarkannya lebih baik
daripada kamu. Bila aku katakan,’Nikmat Tuhan kamu yang manakan kamu
nafikan?’ mereka melafazkan,’kami tidak nafikan sebarang nikmat Tuhan
kami!’ Ia meneguhkan mereka dan tidak menggeletar bila dibacakan,’Nikmat
Tuhan kamu yang manakah kamu nafikan?’ dalam bacaannya. Ini adalah
cetusan sifat jin yang keluar daripada aanasir tanah dan air yang
memadamkan nyalaan api. Sebahagian daripada mereka adalah taat kepada
Allah dan sebahagiannya menderhaka, seperti manusia: tetapi mereka boleh
mengambil berbagai-bagai bentuk seperti malaikat.
[Bentuk asasnya ialah rohani]
Allah jadikan mereka tidak
kelihatan kepada pandangan manusia melainkan bila Allah angkatkan
tutupan kepada orang-orang tertentu untuk mereka melihatnya. Oleh kerana
jin tidak nyata dan seni, mereka boleh mengambil apa juga bentuk yang
boleh dicapai oleh pancaindera menurut kemahuan mereka. Bentuk asasnya
ialah kerohanian yang merupakan bentuk pertama yang diterima oleh jin
pertama tatkala Allah membawanya kepada kewujudan. Kemudian ia mengambil
berbagi-bagai bentuk menurut apa yang Allah kehendaki. Jika Allah
bukakan pandangan kita sehingga kita dapat melihat bentuk-bentuk yang
dapat disaksikan pancaindera melalui khayal, maka pada masa yang
berlainan kamu akan dapat melihat manusia dalam berbagai-bagai bentuk
yang tidak serupa antara satu sam alain.
[Pembiakan jin dan manusia]
Kemudian Allah tiupkan roh ke
dalam nyalaan api yang bergolak lantaran keadaannya yang tidak pejal
itu. Tiupan menambahkana pergolakan tersebut dan udara menguasainya dan
ia tidak tinggal dalama keadaan yang sama. Alam jin muncul dalam bentuk
demikian. Sebagaimana persetubuhan berlaku dalam kehidupan manusia
secara memasukkan air ke dalam kandungan lalu menghasilkan pembiakan dan
kelahiran dalam bangsa Adam yang fana, begitu juga dengan pembiakan
berlaku pada jin secara memindahkan udara ke dalam kandungan perempuan
dan pembiakan serta kelahiran berlaku pada jin. Mereka keluar melalui
Sagittarius dan keadaannya yang berapi-api. Ini telah diceritakan oleh
orang yang telah sampai – semoga Allah melindunginya!
[Tempuh di antara penciptaan jin dan penciptaan manusia]
Tempuh di antara penciptaan Jann
(jin pertama) dengan penciptaan Adam ialah 60,000 tahun. Ini adalah
perlu menurut dakwaan sesetengah orang bahawa kelahiran jin berakhir
selepas 4,000 tahun dan kelahiran manusia berakhir selepas 7,000 tahun.
Walau bagaimanapun, ianya tidak berlaku berdasarkan yang demikian. Ianya
akan berlaku menurut kehendak Allah. Jin masih membiak dan akan terus
membiak. Jadi bilakah manusia bermula, berapa tahun pembiakannya yang
masih tinggal, berapa lama lagikah sebelum berakhirnya dunia ini dan
bangsa manusia terhapus dari muka bumi ini dan mereka dipindahkan ke
Alam Kemudian? Ini bukanlah pegangan mereka yang kukuh dalam ilmu. Ia
dikatakan oleh sebilangan kecil sahaja dan tidak akan diulangi.
[Jin adalah ruang di antara malaikat dengan manusia]
Malaikat adalah roh yang ditiupkan ke dalam nur (cahaya). Jin
adalah roh yang ditiupkan ke dalam angin. Manusia adalah roh yang
ditiupkan ke dalam bentuk. Ada yang mengatakan bahawa yang perempuan
tidak berpisah daripada jin yang mula-mula wujud, seperti Hawa berpisah
daripada Adam. Salah seorang daripada mereka mengatakan Allah ciptakan
anggota pada jin pertama, maka satu bahagiannya bersetubuh dengan
bahagiannya yang lain dan keturunannya dilahirkan seperti keturunan Adam
dilahirkan: lelaki dan perempuan berkahwin. Jadi sifat jin ialah
memiliki kedua-dua jantina. Oleh kerana itu jin merupakan sebahagian
daripada ruang di antara: mereka menyerupai manusia dan menyerupai
malaikat kerana kedua-dua jantina menyerupai lelaki dan perempuan.
[Makanan dan perkahwinan jin]
Anasir udara dan api menguasai
kejadian jin. Oleh kerana itu makanannya ialah apa yang di bawa oleh
udara iaitu lemak di dalam tulang. Allah jadikan persediaan ini dalam
mereka. Jadi kita dapati bahawa tulang dan dagingnya tidak berkurangan
sama sekali dan kita tahu bahawa Allah berikan kepada mereka zat dalam
tulang itu. Inilah yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w mengenai tulang,
“Tulang adalah makanan saudara kamu dari golongan jin”. Dalam satu
hadis, “Allah taruhkan zat pemakanan mereka di dalamnya”. Orang yang hal
ini dibukakan kepadanya menceritakan kepada kami dia telah melihat jin
mendapatkan tulang dan menghidunya seperti haiwan menghidu mangsanya.
Kemudian mereka pergi sesudah mengambil makanannya. Makanannya diambil
melalui penghiduan itu. Segala puji bagi Yang Maha Lemah-lembut
(al-Latiff) dan Yang Maha Mengerti!
Bagi penyatuan mereka dalam
perkahwinan, ia dalam bentuk berpusing – seperti apa yang kelihatan pada
asap yang keluar dari tempat bakaran. Asap itu bercampur-gaul dan
setiap individu jin itu menikmati kemasukan yang berbalas-balasan itu.
Pancutan maninya seperti biji palma dan dalam bentuk bau yang asli, sama
seperti makanannya.
[Puak dan kumpulan jin]
Mereka berpuak-puak dan
berkumpulan. Dikatakan mereka tergolong kepada dua belas puak dan
kemudian bercabang kepada puak-puak yang lebih kecil. Biasa berlaku
peperangan besar di antara mereka, dan sebahagian daripada angin puting
beliung adalah sebenarnya di tengah-tengah pertempuran mereka. Puting
beliung itu merupakan perlawanan yang berbalas-balasan di antara dua
angin yang bertentangan, masing-masing menghalang yang satu lagi
daripada melepasi. Jadi penahanan itu membawa kepada bulatan yang dapat
disaksikan oleh mata sebagai debu yang nyata yang merupakan kesan kepada
perlawanan dua angin itu. Pertempuran mereka adalah seperti itu, tetapi
bukanlah pula setiap puting beliung itu pertempuran mereka. Kisah jin
‘Amr merupakan kisah yang terkenal. Ia terbunuh di dalam puting beliung
yang kelihatan. Ia pecah daripadanya ketika ia hampir mati. Ia tidak
mengambil masa yang lama untuk mati. Ia adalah jin yang salih. Jika asas
buku ini adalah untuk menceritakan sejarah dan budaya kami tentu
ceritakan sebahagian daripadanya, tetapi buku ini adalah mengenai maksud
ilmu pengetahuan. Kamu boleh mencari ceritanya pada tempat yang lain,
dalam buku sejarah dan puisi.
[Cara alam makhluk rohani muncul dalam rupa bentuk]
Bila alam rohani mengambil bentuk
dan muncul dalam bentuk yang boleh ditangkap oleh pancaindera, mata
mengurung makhluk rohani itu kerana makhluk rohani itu tidak dapat
melepaskan bentuk yang ia muncul itu kerana mata terus melihat kepadanya
walaupun yang melihat itu ialah manusia. Bila mata manusia jelas
mengenai makhluk rohani itu, ia tidak mempunyai tempat untuk
menghilangkan diri, maka makhluk rohani itu menjelmakan bentuk yang ia
gunakan untuk menutupi dirinya. Kemudian makhluk rohani itu membuat
manusia mengkhayalkan yang bentuk itu telah meninggalkannya pada satu
arah, lalu mata mengikuti arah tersebut. Bila mata mengikutinya, makhluk
rohani itu meninggalkan kurungan mata tadi dan menghilang. Bila ia
menghilang, bentuk itu hilang dari pandangan orang yang sedang memandang
kepadanya dan mengikutinya dengan pandangannya. Dalam hubungan dengan
makhluk rohani itu, bentuk itu adalah umpama cahaya yang di dalam bekas
lampu yang cahayanya dihamburkan di penjuru-penjuru. Bila badan lampu
itu tiada cahaya pun hilang. Beginilah keadaan bentuk itu. Jika
seseorang mengetahui hal ini, dan mahu mengurung makhluk rohani itu, dia
tidak harus mengikuti makhluk rohani itu dengan matanya. Ini adalah
salah satu rahsia Ilahi yang hanya diketahui oleh mereka yang mendapat
petunjuk Allah. Bentuk itu tidak lain daripada makhluk rohani itu.
Sebenarnya ia adalah sama, sekalipun ia berada pada seribu tempat, atau
pada setiap tempat, dengan bentuk yang berlainan.
Andaikata salah satu bentuk itu
dibunuh dan kelihatan mati, makhluk rohani itu meninggalkan kehidupan
dunia ini dan pergi ke ruang antara sebagaimana kita pergi apabila kita
meninggal. Tidak ada maklumat mengenainya tinggal di dalam dunia ini,
seperti keadaan kita juga. Bentuk yang boleh ditangkap oleh pancaindera
yang diambil oleh makhluk rohani itu dinamakan ‘tubuh’. Allah berfirman,
“Kami adakan hanya jasad di atas singgahsananya” (38:34)
dan
“Kami tidak berikan kepada mereka tubuh yang tidak memakan makanan” (21:8).
Perbezaan di antara jin dengan malaikat,
walaupun secara kerohaniannya mereka serupa, ialah makanan jin
mengandungi makanan yang didapati dalam tubuh asli. Malaikat tidak
demikian. Itulah sebabnya Allah ceritakan tentang tetamu Nabi Ibrahim
a.s,
“Bila dia melihat tangan mereka tidak mengambilnya, dia mencurigai mereka” (11:70),
iaitu malaikat tidak menjamah daging panggang dan mereka tidak memakannya yang membuat Nabi Ibrahim a.s curiga.
[Pembentukan alam jin]
Apabila sampai masa dijadikan alam
jin, Dia memerintahkan tiga daripada malaikat yang kepercayaan dalam
sfera pertama yang membawa pembantu-pembantu mereka yang diperlukan
untuk tugas ini dari langit kedua. Mereka turun ke langit-langit dan
mengambil dua pembantu dari langit ke dua dan ke enam. Mereka turun ke
anasir dan menyediakan tempat tersebut. Tiga lagi penjaga mengikuti
mereka, dan mereka membawa apa juga pembantu yang diperlukan daripada
langit kedua, kemudian turun ke langit ke tiga, dan daripada sana kepada
yang ke lima. Mereka mengambil dua malaikat. Mereka melalui langit ke
enam dan dan mengambil dua pembantu daripada malaikat. Kemudian mereka
turun ke anasir bagi melengkapkan pembentukan itu. Enam yang lebihnya
turun dan mengambil pembantu yang selebihnya di dalam langit ke dua dan
langit-langit. Semuanya dikumpulkan bagi susunan kejadian ini dengan
izin Yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana.
Bila kejadian alam jin selesai,
Allah perintahkan roh daripada Alam Pemerintahan dan tiupkan kepada
bentuk yang telah sedia itu dan kehidupan pun mengalir ke dalamnya. Ia
pun berdiri mengucapkan puji-pujian kepada Penciptanya: ini merupakan
ketentuan semulajadi yang Dia aturkan. Terkandung di dalamnya ialah
kekuatan dan kebesaran yang penyebabnya tidak dikenali dan tidak ditemui
kerana pada masa itu tidak ada makhluk lain yang wujud dalam alam
semulajadi ini selain ia. Ia beribadat kepada Tuhannya, memperakui
kekuasaan-Nya, merendah diri kepada Tuhannya yang telah mewujudkannya
sebagai satu makhluk sehinggalah Adam diciptakan. Bila jin ini melihat
lembaga Adam, salah seorang daripada mereka yang bernama al-Harith,
dikuasai oleh kebencian kepada lembaga tersebut dan kemarahannya
menyala-nyala tatkala menyaksikan lembaga Adam itu. Puaknya yang lain
melihat keadaannya dan mengkeritiknya lantaran mereka melihat ia
bersedih dan berdukacita di atas kejadian Adam itu. Bila kejadian Adam
telah siap, al-Harith menunjukkan apa yang tersirat dalam dirinya dengan
mengingkari perintah Penciptanya supaya sujud kepada Adam dan ia
menjadi angkuh terhadap Adam berbangga dengan asal usulnya (daripada api
yang ia rasakan lebih mulia daripada tanah). Ia gagal melihat rahsia
kekuatan air yang daripadanya Allah jadikan setiap makhluk yang hidup
ini, dan daripadanya juga datangnya kehidupan jin sekalipun ia tidak
menyedarinya.
[Penciptaan Adam dan kejadian manusia]
Jika kamu terdiri daripada mereka yang tidak disingkapkan, fikirkanlah tentang firman Allah,
“dan singgahsana-Nya di atas air” (11:7).
Jadi, singgahsana dan makhluk di sekelilingnya memperolehi kehidupan melalui air.
“Tidak ada yang tidak meninggikan puji-pujian terhadap-Nya” (17:44).
Dia menggunakan yang negatif. Hanya yang
hidup mengagungkan. Dala satu hadis yang baik Rasulullah s.a.w bersabda,
“Malaikat berkata,’Wahai Tuhan (dalam hadis yang panjang)!adakah Engkau
ciptakan sesuatu yang lebih kuat daripada api?’ Dia menjawab,’Iya,
air.’” Jadi, Dia jadikan air lebih kuat daripada api. Sekiranya anasir
udara dalam struktur jin tidak dinyalakan oleh api, maka jin tentunya
menjadi lebih kuat daripada keturunan Adam, kerana udara lebih kuat
daripada air. Dalam hadis ini malaikat bertanya, “Wahai Tuhan, adakah
Engkau ciptakan sesuatu yang lebih kuat daripada api?” Dia menjawab,
“Ya, keturunan Adam.” Allah jadikan organisma manusia lebih kuat
daripada udara. Air lebih kuat daripada api, dan ia merupakan anasir
utama dalam manusia sebagaimana api menjadi anasir utama dalam jin.
Inilah sebabnya Allah katakan tentang syaitan,
“Sesungguhnya tipu daya syaitan itu lemah” (4:76).
Ia tidak menganggap berkekuatan terhadapnya sama sekali. Ia tidak menafikannya kepada Gobernor Mesir tatkala ia bertkata,
“sesungguhnya tipu daya kamu kuat” (12:27)…
Sebab bagi yang demikian ialah
organisma manusia memiliki kesesuaian untuk melahirkan sikap
berhati-hati, keteguhan hati, bertafakur dan berfikir lantaran pengaruh
anasir tanah dan air dalam sifat manusia. Jadi manusia memiliki akal
yang lebih kerana tanah memegangnya dan menahannya sementara air
menjadikannya lemah-lembut dan mudah. Jin tidak demikian. Akal jin tidak
memiliki yang demikian yang boleh membuatnya berpegang kepada sesuatu
sebagaimana manusia boleh lakukan. Sebab itu kita katakan, “Si anu
‘ringan’ akalnya dan ‘malap’ fikirannya” bila dia berkelakuan bodoh dan
dungu! Ini merupakan sifat jin, dan dengannya jin sesat daripada jalan
petunjuk kerana sifat aslinya yang dungu dan kurang kecerdasannya dalam
berfikir. Jadi ia berkata,
“Aku lebih mulia daripadanya” (7:12)
dan menggabungkan kejahilan dan akhlak yang buruk kerana sifat dungunya.
[Syaitan pertama dari golongan jin]
Mana-mana jin yang derhaka adalah
syaitan, iaitu yang tercampak jauh daripada rahmat Allah. Al-Harith
adalah jin pertama yang dipanggil syaitan. Allah menghalaunya dalam
keadaan putus asa, iaitu menghalaunya keluar dari rahmat-Nya dan
mengharamkan rahmat ke atasnya. Daripadanya cabang-cabang syaitan
muncul. Mana-mana jin yang beriman, seperti Hama ibn Alham ibn Laqis ibn
Iblis, bergabung dengan jin yang beriman. Mana-mana yang tinggal dalam
keingkaran adalah syaitan. Ia hanya merupakan sedikit perselisihan
pendapat di kalangan ulama Syariat. Ada yang mengatakan syaitan tidak
pernah tunduk, berpandukan daripada apa yang Rasulullah s.a.w katakan
tentang syaitan yang menjadi sahabatnya, “Allah berikan daku kekuatan ke
atasnya maka dia tunduk (aslama).” Mereka yang mentafsirkan baginda
sebagai berkata “aslamu” mengambil kefahaman “Daku selamat daripadanya”
dan ia tidak mempunyai jalan ke atasku. Jadi, terjemahannya berbeza.
Jika ia diterjemahkan sebagai “aslama” maka ia tunduk. Ia bermakna ia
tunduk walaupun ia menjadi musuh maka ia tidak menyuruhku melainkan
kepada kebaikan, dipaksakan berbuat demikian oleh Allah dan sebagai
perlindungan kepada Rasulullah s.a.w. Yang bertentangan berkata bahawa
“aslama” bermakna bahawa ia percaya kepada Allah seperti yang tidak
percaya bertukar menjadi Muslim dan beriman. Ini adalah lebih tepat dan diterima.
[Iblis adalah jin celaka yang pertama]
Kebanyakan orang berpendapat al-Harith
adalah jin yang pertama, dan ia merupakan jin yang sama kedudukannya
dengan jin-jin yang lain seperti umat manusia dengan Adam. Kami tidak
berpendapat demikian. Al-Harith adalah salah satu daripada jin, tetapi
yang menyamai seperti kedudukan Adam bagi umat manusia adalah jin yang
lain. Inilah sebabnya Allah berfirman,
“Iblis adalah salah satu jin” (18:50),
iaitu ia adalah dalam kategori penciptaan
ini. Sama juga Qabil adalah salah seorang manusia, tetapi Allah
catitkannya di kalangan yang celaka. Dia adalah yang pertama dari
kalangan manusia yang celaka, dan iblis adalah yang pertama yang celaka
di kalangan jin. Kebanyakan seksaan bagi syaitan bangsa jin di dalam
neraka ialah dengan kesejukan yang amat sangat, bukan dengan kepanasan,
walaupun mereka mungkin diseksa dengan api. Kebanyakan seksaan untuk
keturunan Adam ialah dengan api.
Satu hari aku berjumpa dengan seorang wali yang meracau. Dia menangis dan berkata kepada orang ramai,
“Jangan berhenti dengan perkataan-Nya, ‘Aku akan penuhkan Jahannam dengan kamu’” (38:85)
dan memaksudkannya dengan iblis sahaja.
Perhatikan bagaiamana Dia menyampaikan kepada kamu secara tidak langsung
bila Dia berfirman, ‘…jahannam dengan kamu.’ Iblis dijadikan daripada
api maka dia kembali kepada asal usulnya – semoga Allah melaknatinya!
Jika iblis diseksa dengannya, seksaan bagi periuk belangan dengan api
adalah lebih lagi, maka ambillah perhatian!
Bila Jahannam disebutkan, wali ini hanya
memikirkan api secara khusus, dan lupa akan kenyataan bahawa Jahannam
adalah nama bagi kedua-duanya iaitu panas yang bersangatan dan sejuk
yang bersangatan. Ia dipanggil jahannam kerana rupanya yang masam
(jahama. Jahuma bermakna ‘memiliki rupa yang hodoh’) kerana rupanya yang
menimbulkan rasa kebencian. Jaham adalah perkataan bagi awan yang
sudahpun mencurahkan air yang dikandungnya. Hujan yang lebat merupakan
rahmat Allah. Bila Allah sudah mengeluarkan hujan daripada awan, maka
nama jaham digunakan baginya kerana rahmat iaitu hujan yang lebat sudah
tiada lagi. Begitu juga, Allah telah menghilangkan rahmat daripada
Jahannam yang dibenci menurut pandangan dan lapuran. Ia dinamakan
Jahannam kerana ia terlalu dalam. Ada yang mengatakan, “sedalam
Jahannam” bila menyatakan sesuatu yang sangat dalam. Kita bermohon kepada Allah Yang Maha Besar agar dikurniakan kepada kita dan sekalian orang yang beriman keselamatan daripadanya!
Tidak ada komentar:
Posting Komentar