VERSI TOK FAKIR AN NASIRIN
PENGERTIAN DOA
JANGANLAH KERANA KELAMBATAN MASA PEMBERIAN TUHAN
KEPADA KAMU, PADAHAL KAMU TELAH BERSUNGGUH-SUNGGUH BERDOA, MEMBUAT KAMU
BERPUTUS ASA, SEBAB ALLAH MENJAMIN UNTUK MENERIMA SEMUA DOA, MENURUT APA YANG
DIPILIH-NYA UNTUK KAMU, TIDAK MENURUT KEHENDAK KAMU, DAN PADA WAKTU YANG
DITENTUKAN-NYA, TIDAK PADA WAKTU YANG KAMU TENTUKAN.
Apabila kita berkehendak mendapatkan sesuatu sama ada duniawi mahupun
ukhrawi maka kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Jika usaha kita tidak mampu memperolehinya
kita akan meminta pertolongan daripada orang yang mempunyai kuasa. Jika mereka
juga tidak mampu membantu kita untuk mencapai hajat kita maka kita akan memohon
pertolongan daripada Allah s.w.t, menadah tangan ke langit sambil air mata
bercucuran dan suara yang merayu-rayu menyatakan hajat kepada-Nya. Selagi hajat
kita belum tercapai selagi itulah kita bermohon dengan sepenuh hati. Tidak ada
kesukaran bagi Allah s.w.t untuk memenuhi hajat kita. Sekiranya Dia
mengurniakan kepada kita semua khazanah yang ada di dalam bumi dan langit maka
pemberian-Nya itu tidak sedikit pun mengurangi kekayaan-Nya. Andainya Allah
s.w.t menahan dari memberi maka tindakan demikian tidak sedikit pun menambahkan
kekayaan dan kemuliaan-Nya. Jadi, dalam soal memberi atau menahan tidak sedikit
pun memberi kesan kepada ketuhanan Allah s.w.t. Ketuhanan-Nya adalah mutlak
tidak sedikit pun terikat dengan kehendak, doa dan amalan hamba-hamba-Nya.
Dan Allah berkuasa melakukan apa yang di kehendaki-Nya. ( Ayat 27 : Surah Ibrahim )
Semuanya itu tunduk di bawah kekuasaan-Nya. (
Ayat 116 : Surah al-Baqarah )
Ia
tidak boleh ditanya tentang apa yang Ia lakukan, sedang merekalah yang akan
ditanya kelak. ( Ayat 23 : Surah
al-Anbiyaa’ )
Sebahagian besar daripada kita tidak sedar bahawa kita mensyirikkan Allah
s.w.t dengan doa dan amalan kita. Kita jadikan doa dan amalan sebagai kuasa
penentu atau setidak-tidaknya kita menganggapnya sebagai mempunyai kuasa tawar
menawar dengan Tuhan, seolah-olah kita berkata, “Wahai Tuhan! Aku sudah membuat
tuntutan maka Engkau wajib memenuhinya. Aku sudah beramal maka Engkau wajib
membayar upahnya!” Siapakah yang
berkedudukan sebagai Tuhan, kita atau Allah s.w.t? Sekiranya kita tahu bahawa
diri kita ini adalah hamba maka berlagaklah sebagai hamba dan jagalah sopan
santun terhadap Tuan kepada sekalian hamba-hamba. Hak hamba ialah rela
dengan apa juga keputusan dan pemberian Tuannya.
Doa adalah penyerahan bukan
tuntutan. Kita telah berusaha tetapi gagal. Kita telah meminta pertolongan
makhluk tetapi itu juga gagal. Apa lagi pilihan yang masih ada kecuali
menyerahkan segala urusan kepada Tuhan yang di Tangan-Nya terletak segala
perkara. Serahkan kepada Allah s.w.t dan tanyalah kepada diri sendiri mengapa
Tuhan menahan kita dari memperolehi apa yang kita hajatkan? Apakah tidak
mungkin apa yang kita inginkan itu boleh mendatangkan mudarat kepada diri kita sendiri,
hingga lantaran itu Allah s.w.t Yang Maha Penyayang menahannya daripada sampai
kepada kita? Bukankah Dia Tuhan Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang lagi Maha
Mengetahui.
Tidakkah
Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Ia Maha Halus urusan Tadbiran-Nya, lagi Maha
Mendalam Pengetahuan-Nya.
( Ayat 14 : Surah al-Mulk )
Dialah
yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, (dan Dialah jua) yang Maha
Kuasa, lagi Maha Bijaksana. ( Ayat 18 : Surah at-Taghaabun )
Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansuhkan (batalkan), atau
yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik
daripadanya, atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui
bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu? ( Ayat 106 : Surah al-Baqarah )
Allah s.w.t Maha Halus (Maha Terperinci/Detail), Maha Mengerti dan Maha
Mengetahui yang ghaib dan yang nyata. Allah s.w.t yang bersifat demikian
menentukan buat diri-Nya yang apa sahaja yang Dia mansuhkan digantikannya
dengan yang lebih baik atau yang sama baik. Dia boleh berbuat demikian kerana Dia tidak bersekutu dengan sesiapa pun
dan Dia Maha Berkuasa.
Seseorang hamba sentiasa berhajat
kepada pertolongan Tuhan. Apa yang dihajatinya disampaikannya kepada Tuhan. Semakin
banyak hajatnya semakin banyak pula doa yang disampaikannya kepada Tuhan.
Kadang-kadang berlaku satu permintaan berlawanan dengan permintaan yang lain
atau satu permintaan itu menghalang permintaan yang lain. Manusia hanya melihat
kepada satu doa tetapi Allah s.w.t menerima kedatangan semua doa dari satu
orang manusia itu. Manusia yang dikuasai oleh kalbu jiwanya berbalik-balik dan
keinginan serta hajatnya tidak menetap. Tuhan yang menguasai segala perkara
tidak berubah-ubah. Manusia yang telah meminta satu kebaikan boleh meminta pula
sesuatu yang tidak baik atau kurang baik. Tuhan yang menentukan yang terbaik
untuk hamba-Nya tidak berubah kehendak-Nya. Dia telah menetapkan buat
Diri-Nya:
Bertanyalah
(wahai Muhammad): “Hak milik siapakah segala yang ada di langit dan di bumi?” Katakanlah: “(Semuanya itu) adalah milik Allah! Ia telah
menetapkan atas diri-Nya memberi rahmat.” (Ayat 12 : Surah al-An’aam )
Orang beriman selalu berdoa:
“Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di
dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”. (
Ayat 201 : Surah al-Baqarah )
Hamba yang mendapat rahmat dari Allah s.w.t diterima doa di atas dan doa
tersebut menjadi induk kepada segala doa-doanya. Doa yang telah diterima oleh
Allah s.w.t menapis doa-doa yang lain. Jika kemudiannya si hamba meminta
sesuatu yang mendatangkan kebaikan hanya kepada penghidupan dunia sahaja, tidak
untuk akhirat dan tidak menyelamatkannya dari api neraka, maka doa induk itu
menahan doa yang datang kemudian. Hamba itu dipelihara daripada didatangi oleh
sesuatu yang menggerakkannya ke arah yang ditunjukkan oleh doa induk itu. Jika
permintaannya sesuai dengan doa induk itu dia dipermudahkan mendapat apa yang
dimintanya itu.
Oleh sebab itu doa adalah penyerahan kepada Yang Maha Penyayang dan Maha
Mengetahui. Menghadaplah kepada-Nya dan berserah diri kepada-Nya serta ucapkan,
“Wahai Tuhanku Yang Maha Lemah-lembut, Maha Mengasihani, Maha Mengetahui, Maha
Bijaksana! Daku adalah hamba yang bersifat tergopoh gapah, lemah dan jahil.
Daku mempunyai hajat tetapi daku tidak mengetahui kesannya bagiku, sedangkan
Engkau Maha Mengetahui. Sekiranya hajatku ini baik kesannya bagi dunia dan
akhiratku dan melindungiku dari api neraka maka kurniakan ia kepadaku pada saat
yang baik bagiku menerimanya. Jika kesudahannya buruk bagi dunia dan akhiratku
dan mendorongku ke neraka, maka jauhkan ia daripadaku dan cabutkanlah
keinginanku terhadapnya. Sesungguhnya Engkaulah Tuhanku Yang Maha Mengerti dan
Maha Berdiri Dengan Sendiri”.
Dan
Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya, dan Dialah juga yang
memilih (satu-satu dari makhluk-Nya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan
kemuliaan); tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain
dari pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha
Tinggilah keadaan-Nya dari apa yang mereka sekutukan dengan-Nya.
{ Ayat 68 :
Surah al-Qasas }
Top Casino Hotel & Spa Casinos in NY - Mapyro
BalasHapusFind the top 10 casinos 경산 출장안마 in NY. Check for availability at the top 화성 출장샵 casinos 대구광역 출장샵 in NY. Search for reviews, 광양 출장샵 ratings, bonuses, and news. 구미 출장안마